Malaysia dan Republik Tatarstan berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga dan teknologi susulan pertemuan Perdana Menteri dengan Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov pada Rabu.
Pertemuan yang berlangsung sejurus ketibaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Kazan itu turut membuka ruang kerjasama baharu yang dijangka memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua pihak.
Menerusi hantaran di media sosial, PMX berkata, beliau dan Minnikhanov bertukar pandangan mengenai hubungan sedia ada serta peluang kerjasama yang boleh diteroka pada masa depan.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan sahabat yang juga Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, bagi bertukar pandangan mengenai hubungan serta peluang kerjasama yang boleh diteroka demi manfaat kedua-dua pihak.
“Kami membincangkan potensi memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi dan pembangunan bakat,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh ICESCO.
PMX pada masa sama menghargai usaha Presiden Rusia, Vladimir Putin, menerusi penubuhan Strategic Vision Group (SVG) yang disifatkan sebagai platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara Rusia dan dunia Islam.
“Saya juga menghargai visi Presiden Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group (SVG), yang berperanan sebagai jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuh dialog serta kerjasama yang lebih bermakna,” ujarnya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, sektor tenaga menjadi antara fokus utama perbincangan memandangkan Tatarstan ialah antara wilayah pengeluar minyak utama di Persekutuan Rusia.
Tambahnya lagi, kedua-dua pihak melihat potensi kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia.
Selain itu, beliau berkata, peranan KazanForum turut disentuh sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan perniagaan serta membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik.
“Semoga pertemuan ini terus mempererat hubungan Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak,” jelasnya.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=oGeBRbw_lAo&pp=0gcJCT4LAYcqIYzv&ra=m
