MADANI TERKINI | SIDANG CILIK SELANGOR CIPTA SEJARAH, GILAP BAKAT PEMIMPIN SEAWAL USIA ENAM TAHUN

Seawal usia enam tahun, kanak-kanak di Selangor sudah diberi peluang merasai pengalaman sebagaiwakil rakyat apabila tampil berbahas, membentangkan usul dan menyuarakan pandangan menerusi Sidang Cilik Selangor 2026.

Program yang julung kali dianjurkan itu mencatat sejarah sebagai persidangan cilik pertama seumpamanya di Selangor dan Malaysia, menurut penganjur, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda mengenali sistem demokrasi dan kepimpinan sejak usia awal.

Berteraskan slogan “Suara Kecil, Impak Besar”, program berkenaan menghimpunkan murid sekolahrendah dan pelajar sekolah menengah berusia enam hingga 14 tahun dari seluruh Selangor.

Menariknya, peserta bukan sekadar diberi peluang berucap, malah menjalani latihan intensif selama tiga bulan bersama mentor terpilih bagi mempelajari teknik perbahasan, pentadbiran, undang-undang serta khidmat masyarakat.

Kemuncak program berlangsung pada 24 Oktober lalu di Dewan Renantanda, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), apabila peserta yang diberi gelaran “Yang Berkhidmat” mempamerkan kemampuan berhujah dan mengendalikan perbahasan mengikut aturan persidangan.

Lebih membanggakan, majoriti peserta pada awalnya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai perbahasan, namun berjaya menunjukkan peningkatan ketara hasil latihan dan bimbingan berterusan.

Peserta termuda raih anugerah utama Naael Zakaria Nadhir Zakaria yang mewakili DUN Sungai Kandis mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik, meskipun merupakan peserta termuda dalam program tersebut.

Sementara itu, Aisy Haura Mutyara Muhammad Ridwan dari DUN Sungai Panjang menerima Anugerah Pembahas Terbaik pihak pembangkang, manakala Mohammad Yusuf Akid Mohammad Farhan dari DUN Meru dipilih sebagai Pembahas Terbaik pihak kerajaan.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid yang juga penaung program, memainkan peranan sebagai Speaker Sidang Cilik dengan dibantu Firdaus Mokhtar daripada Majlis Perwakilan Penduduk(MPP) Zon 6 selaku Timbalan Speaker.

Danial berpandangan kanak-kanak perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat dan membina keyakinan diri, selain mendapat bimbingan berterusan bagi melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan berjiwa kepimpinan.

Menurut Pengarah Program, Nurul Faezah Jasni, komitmen Danial menjadi antara faktor penting kejayaan penganjuran apabila beliau memberikan persetujuan sebaik konsep program dikemukakan oleh pasukan urus setia dan mentor.

Setiausaha Program, Siti Suhaili Sulaiman pula menjelaskan bahawa Sidang Cilik bukan sekadar pertandingan perbahasan, sebaliknya platform pendidikan sivik untuk melatih kanak-kanak berfikir secarakritis, menghormati perbezaan pendapat dan berhujah secara berhemah.

Program berkenaan turut menampilkan penyanyi rap dan pelakon, Ben Ladin sebagai Ikon Sidang Cilik Selangor 2026 yang berperanan memberikan inspirasi kepada peserta untuk terus mengembangkan bakat dan berani mengetengahkan idea.

Penganjuran tersebut mendapat sokongan MBSA, Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor serta Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San.

Kejayaan Sidang Cilik Selangor 2026 membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk memahami tanggungjawab kepimpinan, malah kanak-kanak mampu tampil dengan hujah bernas apabila diberikan latihan, kepercayaan dan peluang yang sewajarnya.

Inisiatif itu juga menjadi langkah awal membentuk generasi pelapis yang bukan sahaja berani bersuara, tetapi memahami kepentingan mendengar, menghormati pandangan berbeza dan mengutamakan kepentingan Masyarakat.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=W3tL_6l8blo&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *