Seperti dijangka, keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas BUDI RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bermula 1 September ini sememangnya mendapat perhatian paling tinggi di kalangan rakyat yang aktif di media sosial.
Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di PICC Putrajaya pada Ahad, jelas melegakan.
Malah, ada yang menyifatkannya sebagai ‘hadiah’ bermakna setelah sekian lama kuota diselaraskan kepada 200 liter buat beberapa bulan lalu.
Ini kerana rata-rata pengguna media sosial menyambut baik keputusan berkenaan, terutama mereka yang sebelum ini mendakwa terkesan dengan had 200 liter setiap bulan.
“Back to 300 liter..mantap!!,” tulis ringkas Muhammad Alif.
Sementara itu, Suhemi Mohd Yusoff berkata, “Alhamdulillah, terima kasih byk2 PMX Kerajaan Madani dan Selamat Hari Kebangsaan 69 Tahun,” tulisnya pula dipetik Harapan Madani.
Bagi kontraktor kecil, Azmi Hamidin pula, pengumuman Perdana Menteri itu sesuatu yang menggembirakan dirinya dan keluarga.
“Lepas ni taklah susah berkongsi kuota dengan ahli keluarga malah rasanya cukup seorang 300 liter jika rakyat teruskan penggunaan petrol secara berhemah,” ujarnya.
Terdahulu, PMX berkata, ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Sementara lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel layak menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Kuota bahan api diselaraskan sebelum ini daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan susulan krisis di Asia Barat.
Di mana ia menyebabkan bekalan produk petroleum dari rantau itu berkurangan secara drastik dan harganya melambung melebihi AS$100 setong.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=2dUPDq5Pf3A&ra=m
