Mana-mana individu atau pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian dan penipuan akan disiasat oleh pihak berkuasa, tegas Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, antara pihak yang akan menyiasat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, individu atau pihak bertanggungjawab itu turut akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Keputusan Jemaah Menteri tadi bukan saja nak sebar, orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM dan Bank Negara.
“Semua akan siasat. Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau berucap di Majlis Minum Petang Bersama PMX, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, di Simpang Durian pada Rabu.
Yang turut hadir, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju laporan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai TH dikelaskan semula dan laporan itu akan dibentangkan serta dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Tambahan lagi, PMX turut berkata, tindakan undang-undang terhadap pihak yang bersalah itu perlu dilakukan kerana ia adalah aturan di negara ini.
“Ramai dah pergi haji dan pergi umrah. Wang haji dia ditipu. Saya tak mahu tuduh sesiapa. Biar PDRM, SPRM dan BNM siasat,” tegasnya lagi.
Ahli Parlimen Tambun itu turut memaklumkan, berdasarkan taklimat yang diberikan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain kepada Jemaah Haji berkait RCI itu juga, berlakunya kerugian sebanyak RM10 bilion yang terpaksa ditanggung oleh TH.
“Dia bagi taklimat kepada Jemaah Menteri. Rugi RM10 bilion disebabkan tak ikut peraturan, pelaburan salah dan banyak masalah,” ujarnya.
Perdana Menteri juga berkata, kesalahan itu berlaku sejak 2014, selain Gabenor BNM juga memaklumkan wujudnya pelanggaran namun tidak dipedulikan oleh TH sehingga menyebabkan organisasi itu mengalami kerugian.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=RpQGg6gpzXA&ra=m
