MADANI TERKINI | JEMAAH MENTERI LULUS PELAN KOMPREHENSIF TAMBAH BAIK KAWALAN PINTU SEMPADAN NEGARA

Jemaah Menteri telah meluluskan pelan komprehensif untuk tindakan segera bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, pelan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) membabitkan beberapa aspek.

“Ya, ada beberapa perkara dibentangkan oleh kedua-dua KDN dan juga MOT, memandangkan ada beberapa perkara membabitkan aspek keselamatan.

“Maka saya minta untuk rujuk kepada KDN untuk maklumat khusus.

“Tetapi pelan terbabit sudah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera bermula hari ini juga,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berikutan terdapat beberapa elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

“Pelan berkenaan disediakan dalam tempoh dua minggu.

“Ia susulan arahan Kabinet supaya kawalan keselamatan di pintu masuk negara diperkukuh menerusi penyelarasan membabitkan pelbagai agensi berkaitan,” katanya pula.

Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Ia termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama kira-kira 25 kilogram dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=jv6hxTRjwc8&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *