Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan projek Kuching ‘Smart City and Digital Connectivity’.
Majlis berkenaan dihadiri wakil Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).
Mengulas mengenai pemeteraian MoU itu, MCMC dalam satu kenyataan berkata, projek berkenaanbertujuan memperluas kesaling hubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.
Majlis pertukaran dokumen MoU tersebut telah disempurnakan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh dan ia sekali gus membuka lembaran baharu bagi teknologi pendigitalan komprehensif di wilayah itu.
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr. Sim Hui Kian di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan projek akan memberikan tumpuan awal kepada kawasan Greater Kuching.
Di mana ia merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Antara skop kerjasama dikenal pasti meliputi pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaianteras (connectivity backbone) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan bandar lebih cekap, selamat dan responsif.
Selain itu, inisiatif ini juga dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden dan kecemasan serta menyediakan pengalaman digital yang lebih baik kepada masyarakat menerusi pengwujudan ‘Network Operations Centre’ (NOC).
Ketika ditemui pemberita selepas majlis pertukaran dokumen MoU itu, Fahmi berkata, inisiatif tersebut merupakan satu projek penting bagi mengukuhkan infrastruktur digital di Kuching.
“Saya yakin kerjasama ini akan memberi satu lonjakan terutamanya dari segi infrastruktur digital bagi kawasan sekitar Kuching, dan projek ini dianggarkan bernilai RM550 juta,” katanya dipetik Harapan Madani.
Projek berkenaan selari dengan hasrat pendigitalan Malaysia 2030 bersama Program Blue Print Digital Sarawak 2030.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=ChNFNG9Mwsg&pp=0gcJCTsMAYcqIYzv&ra=m
