Hanya kerana ‘merajuk’ setelah tewas dalam perebutan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hingga sanggup keluar parti.
Di samping ‘mengambil alih’ Parti Bersama Malaysia (PBM) jelas menzahirkan sifat sebenar dua bekas pemimpin, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan mengkhianati mandat rakyat yang mengenali dan mengundi logo Pakatan Harapan (PH).
Setelah diberi ruang secukupnya termasuk daripada Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memikir sedalam-dalamnya hasrat mereka meletak jawatan kabinet, mereka enggan akur dengan nasihat itu.
Malah, mereka turut menyerang kembali parti menerusi siri podcast sejak pertengahan tahun lalu sehingga kini.
Sedangkan sepatutnya, kedua-dua pemimpin itu mesti memberi tumpuan penuh kepada amanah menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang mereka wakili dan membantu memperkukuh kestabilan negara.
Dan bukannya meninggalkan parti dan rakyat terkontang-kanting tanpa perhatian.
Kedua-dua elemen berkenaan amat mustahak memandangkan rakyat terbanyak kini berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dunia serta cabaran krisis bekalan global yang sedang ditangani kerajaan.
Namun, apa yang berlaku hari ini adalah percaturan politik peribadi semata-mata.
Malah, langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat yang memilih mereka atas tiket perjuangan reformasi dan kestabilan Kerajaan MADANI.
Setelah Pandan dan Setiawangsa memberikan mandat untuk berkhidmat, mereka semestinya memegang amanah yang diberikan.
Bukannya menjadikan kerusi dimenangi sebagai batu loncatan membina platform politik baharu selepas menang pilihan raya menggunakan logo PH.
Justeru, sepatutnya, sekiranya mereka benar-benar menghormati mandat rakyat, mereka tidak wajar memperjudikan nasib rakyat di kawasan mereka demi kepentingan politik peribadi apabila berlaku ketidakpuasan hati.
Dengan tidak menghormati, malah memperolok-olokkan perlembagaan negara, keputusan mereka jelas memperlihatkan bahawa kegelojohan membuat keputusan akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Maka, pengajarannya di sini ialah, sekiranya pimpinan tidak menghormati perlembagaan, mereka juga tidak layak meraih undi daripada rakyat di mana sahaja mereka bertanding.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=0FnJEWD2a2c&ra=m
