MADANI TERKINI | KERAJAAN MADANI AKAN TINGKATKAN BANTUAN STR, SARA JIKA EKONOMI TERUS KUKUH

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.

Perdana Menteri berkata, perbincangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibuat bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican pada Sabtu.

“Jadi ini saya katakan ikhtiar yang terus kita lakukan… yang dapat STR, SARA….

“Saya beritahu kalau keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincang semalam, Sabtu petang…

“Saya panggil juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bincang apakah mungkin kita tambah lagi.

“Kalau keadaan ekonomi mengizinkan, dalam Belanjawan (2027) nanti saya fikir bagaimana nak tambah peruntukan untuk bantu rakyat.

“Kadang-kadang walaupun harga minyak turun, harga barang sukar dikawal.

“Contohnya bawang, kita banyak import dari India, jadi bila harga naik, ia beri kesan kepada rakyat,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh pada Ahad.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu juga, kerajaan akan memperluaskan lagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah bagi memastikan rakyat terus menikmati barangan keperluan pada harga lebih rendah.

“Mungkin untuk Perak dan terutamanya di Tambun ini, kita tambah Jualan Rahmah supaya rakyat dapat membeli dengan kos lebih rendah.

Pada masa sama, PMX turut memberitahu kerajaan akan terus memberi peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menjaga kebajikan RELA di negara ini.

“Jadi untuk jaga kepentingan RELA, saya setuju teruskan peruntukan RM3 juta untuk kebajikan anggota.” Ujarnya lagi.

Program anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Rosli Yaakub.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8cU0f2HIxhg&pp=0gcJCZkLAYcqIYzv&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *