JEMPOL – Seramai lebih 225,000 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara telah mengikuti program penghafalan Juzuk 30 sejak diperkenalkan tiga tahun lalu sebagai usaha memperkukuh pendidikan Islam di peringkat awal kanak-kanak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu diperkenalkan bagi menyemai nilai agama sejak usia muda selaras dengan usaha melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan mempunyai asas pendidikan Islam yang kukuh.
Menurut beliau, Kemas turut memperkenalkan pendekatan Smart Learning berasaskan teknologi bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif, menyeronokkan serta selari dengan keperluan pendidikan masa kini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, di sini.
Ahmad Zahid berkata, transformasi pendidikan awal kanak-kanak melalui gabungan pengukuhan nilai agama dan penggunaan teknologi moden diharap mampu melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, sahsiah dan spiritual.
Program GEMA@KKDW turut menghimpunkan pelbagai aktiviti pendidikan, khidmat kerajaan serta penglibatan komuniti setempat, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dan memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat.
Beliau turut menegaskan Kemas akan terus memperkasakan kualiti pendidikan prasekolah melalui latihan berterusan kepada tenaga pengajar, penambahbaikan kaedah pembelajaran serta pengenalan lebih banyak modul yang memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Dalam pada itu, pertandingan dan aktiviti pendidikan yang diadakan sepanjang Program GEMA@KKDW, termasuk pertandingan mewarna melibatkan murid Tabika Kemas, bukan sahaja mencungkil bakat serta kreativiti kanak-kanak, malah menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dalam menyokong perkembangan pendidikan awal anak-anak.
