STROK MATA KECEMASAN, RAWATAN AWAL SELAMATKAN PENGLIHATAN

KUALA LUMPUR – Strok mata atau Central Retinal Artery Occlusion (CRAO) merupakan kecemasan oftalmologi yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan secara tiba-tiba dan berisiko mengakibatkan kebutaan kekal jika tidak dirawat segera.

Keadaan itu berlaku apabila arteri utama yang membekalkan darah dan oksigen kepada retina tersumbat secara mendadak, menyebabkan fungsi sel retina terganggu serta penglihatan merosot dengan cepat.

Pensyarah Perubatan, Pakar Oftalmologi dan Bedah Mata, Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Muhammad Aizuddin Ahmad berkata, CRAO mempunyai persamaan dengan strok otak kerana kedua-duanya berpunca daripada gangguan bekalan darah kepada tisu penting.

Menurutnya, strok mata berkait rapat dengan faktor risiko vaskular seperti arteriosklerosis, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

“Saraf mata memerlukan bekalan oksigen yang tinggi untuk mengekalkan fungsi penglihatan.

“Apabila bekalan oksigen terputus dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam, kerosakan kekal boleh berlaku dan seterusnya mengakibatkan kehilangan penglihatan,” katanya.

Beliau berkata, antara pendekatan rawatan yang semakin mendapat perhatian ialah Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT), iaitu rawatan yang membolehkan pesakit menghirup 100 peratus oksigen dalam ruang bertekanan lebih tinggi berbanding tekanan atmosfera biasa.

Katanya, secara teori, tekanan tinggi membantu meningkatkan resapan oksigen ke dalam tisu retina melalui plasma darah, sekali gus berpotensi mengekalkan sel retina yang terjejas sementara menunggu aliran darah arteri pulih.

“Beberapa kajian jurnal perubatan dan meta analisis menunjukkan hasil lebih memberangsangkan apabila HBOT dimulakan pada peringkat sangat awal, khususnya dalam tempoh 12 jam pertama selepas simptom dikesan.

“Faedah pemulihan penglihatan dilaporkan lebih ketara dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan dalam tempoh lapan jam pertama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, rawatan selepas 12 hingga 24 jam didapati memberikan manfaat yang kurang signifikan dalam sesetengah kajian, namun terdapat laporan kes yang menunjukkan pesakit masih boleh mengalami perubahan positif walaupun rawatan dimulakan lebih lewat.

“Respons retina berbeza mengikut tahap sekatan salur darah, justeru penilaian dan rawatan perlu dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Mengulas keselamatan HBOT, Dr Muhammad Aizuddin berkata, kadar komplikasi rawatan secara keseluruhannya adalah rendah, manakala kesan sampingan lazim biasanya ringan.

Antaranya termasuk rasa cemas dalam ruang tertutup, barotrauma seperti sakit atau kecederaan pada telinga dan gegendang telinga, nadi menjadi perlahan serta sesak dada.

Dalam kes yang jarang berlaku, keracunan oksigen pada sistem saraf pusat juga boleh berlaku dan menyebabkan gejala seperti loya, pening atau sawan, namun keadaan itu akan dipantau serta dinilai oleh doktor sepanjang rawatan.

Beliau berkata, CRAO tidak seharusnya dianggap sekadar masalah mata kerana ia juga boleh menjadi petanda kepada masalah pembuluh darah yang lebih serius.

“Orang awam perlu segera mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan sekiranya mengalami kehilangan penglihatan sebelah mata secara tiba-tiba, khususnya tanpa rasa sakit.

“Dalam kes strok mata, setiap minit amat berharga kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh menentukan sama ada penglihatan dapat diselamatkan atau mengalami kerosakan kekal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *