Barisan Nasional (BN) Johor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan sudah stabil ada majoriti 2/3.
Mereka memilih waktu ini untuk memonopoli kuasa dengan sasaran tidak ramai pengundi luar balik mengundi.
Jika strategi ini berjaya, ia akan dijadikan momentum untuk mengembalikan dominasi kuasa di peringkat Persekutuan.
Ahli sejarah mengingatkan, “Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely.”
Maksudnya, kuasa cenderung merosakkan dan kuasa yang terlalu mutlak pula boleh merosakkan sepenuhnya.
Ini juga apa yang berlaku kepada Dato’ Sri Najib Razak dan 1MDB ketika zaman kuasa dimonopoli selama 60 tahun dan pada masa itu, dirasakan mustahil untuk BN tumbang.
Lebih RM2.6 bilion wang yang dipinjam atas nama negara akhirnya mengalir ke akaun peribadi dan menjadi antara sendal kewangan terbesar dalam sejarah negara.
Sepatutnya kalian menunjukkan penyesalan, tetapi apa yang diajar, “malu apa bossku”. Curi berbilion tak perlu malu. Kalau curi susu formula bayi, baru kena malu.
Jadi, momentum dominasi dan korupsi inilah yang perludihentikan di Johor supaya tidak meleret ke kerajaanPersekutuan.
Lebih tiga tahun Kerajaan Perpaduan Madani membuktikan bahawa perkongsian kuasa boleh mewujudkan kestabilan politik, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Formula Perpaduan patut dimulakan di Johor untuk menghalang segelintir kelompok memanipulasi kekayaan negeri bagi tujuan peribadi.
Dalam pada itu, Umno-BN Johor bersikap sombong kerana menganggap mereka terlalu kuat selain menyangka kemenangan yang pernah diraih sebelum ini sebagai sesuatu yang mutlak.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan politik sedemikian bukan sahaja memperlihatkan ketiadaan semangat setia kawan dalam kalangan komponen BN di Johor.
Malah, beliau berpendapat situasi sama turut dapat dilihat dengan lebih jelas pada Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, Khalid menolak budaya politik yang hanya berasaskan perebutan kedudukan dan kuasa sehingga sanggup mengkhianati semangat perpaduan serta mengabaikan kepentingan negara demi agenda kelompok tertentu.
“Kita mahu rakyat menyokong pihak yang mengutamakan perpaduan, kestabilan politik serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.
“Golongan yang berpolitik semata-mata mahu mendapatkan kuasa hingga sanggup mengkhianati perpaduan perlu di ketepikan oleh rakyat,” katanya.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)itu berkata demikian menerusi Bicara Hj Khalid Samad (Siri 292) yang bertajuk, “Johor BN Punya?”.
Beliau turut berpandangan bahawa BN kini berada dalam keadaan dilema kerana naratif yang sering dibawa kononnya masyarakat Melayu sedang terancam sebenarnya memakan diri sendiri.
Tambah Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan itu lagi, BN tidak mempunyai asas kukuh untuk memainkan sentimen sedemikian memandangkan parti itu sendiri sudah lama menjadi kerajaan.
Maka, hujahnya, jika benar orang Melayu terjejas, ia seolah-olah menggambarkan kegagalan mereka sendiri mentadbir negara.
“Kalau mereka kata Melayu terjejas, BN ibarat meludah kelangit kerana mereka sendiri kerajaan, dahulu pun mereka kerajaan.
“Kalau mereka gagal, kenapa rakyat perlu pilih mereka semula (dalam PRN Johor kali ini)?” bidas bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.
Khalid turut menjangkakan kempen BN dalam pilihan raya bulan depan akan terus bergantung kepada politik kebencian serta sentimen seperti dakwaan Melayu terancam kerana gabungan itu dilihat tidak mempunyai tawaran atau idea baharu untuk diketengahkan kepada rakyat.
Sebaliknya, beliau menegaskan, PH tampil dengan naratif lebih positif berasaskan rekod pencapaian kerajaan serta komitmen berterusan untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik.
“Bagi PH, kita membawa naratif yang lebih positif. Kita sudah capai kejayaan, kita sudah capai apa yang ingin dicapai dan kita akan terus berusaha untuk capai sesuatu yang lebih baik demi rakyat dan negara,” ujarnya.
Justeru, JOMChannel berpendapat bahawa wajar jika pengundi tidak menjadikan BN terlalu kuat, tetapi tidak juga menjadikan PH terlalu lemah.
Johor perlukan kerajaan yang kuat untuk mentadbir, tetapi tidak terlalu kuat sehingga tiada siapa mampu menegur.
Oleh itu, tolak monopoli kuasa, bina Perpaduan, pertahankan semak dan imbang.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=lMyR6sJs1hc&ra=m
