Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) kembali menjadi perhatian apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendedahkan projek berkenaan masih berdepan kelewatan.
Sekali gus menghidupkan semula persoalan mengenai teguran bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Berdasarkan laporan audit terbaharu, kemajuan keseluruhan projek LCS ketinggalan 7.55 peratus.
Dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari setakat 25 Jun lalu.
Perkembangan itu turut memberi risiko terhadap penyerahan fizikal LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos 2026 sebelum sasaran baharu ditetapkan pada 26 Disember ini.
Lebih membimbangkan, Jabatan Audit Negara (JAN) memaklumkan LCS 1 masih belum mencapai keupayaan penuh.
Terutamanya sekiranya diserahkan mengikut jadual baharu kerana latihan dan sistem persenjataan belum disempurnakan.
Malah, beberapa Kontrak Pelengkap yang diperlukan bagi mencapai kesiapsiagaan penuh projek hanya dijangka selesai pada Disember 2035.
Iaitu kira-kira lima tahun selepas tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030.
Keadaan itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai pengurusan kontrak, penyelarasan projek dan keberkesanan pemantauan terhadap projek pertahanan bernilai berbilion ringgit tersebut.
Dalam konteks itu, teguran Abdul Aziz yang pernah mengemukakan 10 surat kepada pihak berkepentingan kembali mendapat perhatian.
Khususnya mengenai kedudukan TLDM sebagai pengguna akhir dalam proses perolehan LCS.
Antara surat berkenaan ditujukan kepada Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak, Menteri Pertahanan ketika itu, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tan Sri Abdul Aziz turut menyuarakan kebimbangan apabila pandangan TLDM dikatakan tidak diberikan pertimbangan sewajarnya dalam proses perolehan.
Isu itu kini kembali diperkatakan selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Ahmad Zahid memberi penjelasan berhubung perkembangan terkini projek berkenaan.
Guan Eng turut membangkitkan semula dakwaan berkaitan nota tulisan tangan pada surat Boustead Naval Shipyard bertarikh 8 Julai 2010 yang menurutnya mengandungi arahan “SUB (Setiausaha Bahagian) Perolehan, sila laksanakan”.
Tambahnya lagi, projek lima kapal LCS bernilai RM11.22 bilion itu sebelum ini menjadi kontroversi selepas kerajaan membuat bayaran berbilion ringgit tanpa sebuah kapal diserahkan mengikut jadual asal.
Namun, persoalan LCS pada ketika ini bukan sekadar berkisar mengenai keputusan ketika projek dimulakan.
Sebaliknya turut menyentuh keupayaan kerajaan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual dan mencapai keupayaan operasi seperti ditetapkan.
LKAN 2/2026 turut mendapati beberapa Kontrak Pelengkap masih belum dimuktamadkan.
Antaranya termasuk kontrak Integrated Logistics Support and Trial Aids (ILS-TA) bernilai RM535.37 juta.
Walaupun dua bayaran kemajuan berjumlah RM100 juta telah dibuat.
JAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan menyediakan pelan tindakan pemulihan yang realistic.
Di samping memperkukuh mekanisme pemantauan dengan menetapkan pegawai bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal.
Perkembangan itu menuntut penjelasan menyeluruh kerajaan supaya isu kelewatan LCS tidak terus berlarutan.
Terutamanya membabitkan penggunaan wang awam, keperluan pertahanan negara serta kemampuan kapal berkenaan memenuhi keperluan operasi TLDM apabila diserahkan kelak.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=nQUh_egcIk4&ra=m
