TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA, SAYANG DAN BENCI BERPADA-PADA

Malaysia mesti terus berpaksikan prinsip masyarakat majmuk seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum, tegas Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, walaupun landskap politik negara sering diwarnai perbezaan pandangan dan persaingan parti politik, hakikat kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi asas pembentukan negara tidak boleh dipertikaikan.

Tegasnya, setiap pihak perlu menghormati pilihan rakyat dalam sistem demokrasi serta mengelakkan sikap yang menafikan hak mana-mana kaum atau parti politik.

“Jadi soal siapa yang harus mendampingi Perdana Menteri dalam kerajaan dan Kementerian.

“Kita harus menghormati semua sosok sebagai kaum, sebagai bangsa walaupun induknya majoriti Melayu, kita sentiasa jelas.

“Dalam sistem dan amalan demokrasi, kita mesti menghormati pilihan rakyat dan itu agak angkuh atau sombong untuk kita dalam membuat keputusan.

“Menafikan hak mana-mana kaum atau parti yang mungkin bertanding dan bersama dalam pilihan raya,” katanya dipetik Harapan Madani.

Tambahan lagi, PMX secara berseloroh ‘menegur’ dan mempersoal kedudukan Dato’ Fahmi Fadzil yang duduk bersebelahan Teo Nie Ching pada majlis berkenaan dan iadipercayai merujuk kepada isu panas ‘duduk semeja’ yang dimainkan parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Teo Nie Ching duduk sebelah (Fahmi), boleh ke? Nanti jadi isu,” sindirnya pula.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, prinsip menghormati kepelbagaian bukan sahaja terkandung dalam Perlembagaan, malah turut selari dengan ajaran Islam yang mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan bangsa sebagai satu ketetapan yang perlu dihormati.

Katanya lagi, masyarakat tidak seharusnya menilai seseorang berdasarkan kaum, warna kulit atau latar belakang keturunan kerana perkara itu bukan pilihan individu sejak dilahirkan.

“Kita tidak pilih untuk jadi Melayu, Cina atau India. Kita tidak pilih warna kulit kita.

“Yang membezakan manusia bukan keturunannya, kekayaannya, pangkat dan darjatnya, suku kaum atau warna kulitnya, tetapi nilai kebaikan dan ketakwaannya,” tegasnyalagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan bahawa perbezaan kaum dan budaya perlu dilihat sebagai ruang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain, bukannya sekadar bertoleransi.

Tambahnya lagi, konsep itu perlu dijadikan asas dalam membina masyarakat yang lebih matang dan bersatu padu, terutama ketika negara berdepan ketegangan politik dan perdebatan awam yang semakin mencabar.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengakui beliau sering berdepan tuduhan kononnya terlalu cenderung kepada kaum tertentu apabila mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan kerajaan adalah berpandukan nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat, bukannya kepentingan mana-mana kaum.

“Sebab itu dalam negara MADANI ini kita tekankan soal nilai. Nilai yang dipaparkan, ditonjolkan, dididik pada anak-anak dari awal.

“Kita tak nak orang benci dengan kaum, benci saya walaupun saya tahu ramai yang mengatakan bahawa saya ni lebih kepada liberal,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengamalkan budaya perbahasan yang lebih berhemah serta menjadikan nilai hormat-menghormati sebagai asas dalam komunikasi dan wacana politik negara.

Dalam perkembangan yang berkaitan, pemimpin politik diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Dato’Fahmi Fadzil mengingatkan hal tersebut susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) negeri itu yang enggan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Terlajak kata buruk padahnya,” katanya secara ringkas selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di ibu negarapada Isnin.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil pendirian terlalu tegar dalam soal kerjasama politik.

Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, keadaan boleh berubah pada masa hadapan.

“Do not burn bridges (Jangan bakar ‘jambatan’). Sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada.

“Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang jadi jangan terlalu ekstrem dan inflexible (tidak fleksibel), jangan terlalu jumud,” nasihat Menteri Kesihatan itu lagi.

Terdahulu, Onn Hafiz yang merupakan Pengerusi BN Johor bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP bagi menghormati hasrat rakyat negeri itu yang didakwanya mahu BN bergerak sendiri pada PRN.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Onn juga berkata, dia lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Sungguh angkuh dan agak memalukan bagi seorang tokoh dan pemimpin negeri yang telah menerajui kepimpinan negeri yang jelas merangkumi rakyat pelbagai kaum terutamanya Cina.

Sekarang, mulutnya berkata lain. Nanti, mulutnya berkata lain pula terutamanya apabila masanya sudah tiba untuk mereka terpaksa merayu mahukan undi penduduk Cina kelak.

Makanya, janganlah terlalu mendongak ke langit sehinggakan hak rakyat bawahan ini senang sahaja dikaburi oleh sentimen perkauman yang semakin beracun dan berbisa!

Pautan Video: 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *