DAP KEKAL, TOLAK DESAKAN KELUAR KERAJAAN

DAP memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen pada 2027 selepas majoriti besar perwakilan menyokong usul berkenaan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026.

Daripada 2,106 kertas undi yang dikeluarkan, sebanyak 1,857 perwakilan mengundi untuk kekal dalam kerajaan.

Manakala 242 menyokong supaya DAP keluar dan tujuh kertas undi pula rosak.

Sehubungan dengan itu, keputusan itu mewakili hampir 88 peratus undi sah.

Ia sekali gus memberikan mandat jelas kepada kepimpinan parti untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan serta agenda reformasi yang dijanjikan menerusi manifesto Pakatan Harapan(PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan tersebut menjadi tanggungjawab kepada kepimpinan parti.

Antaranya untuk terus berkhidmat dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan reformasi yang telah dipersetujui bersama.

Beliau berkata, DAP tidak menjadikan persidangan itu sebagai platform untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya mahu reformasi yang dipersetujui dalam Kerajaan Perpaduan dilaksanakan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mengulas mengenai ketidakhadiran sebahagian besar perwakilan, Anthony menolak dakwaan ia mencerminkan protes terhadap kepimpinan parti.

Menurutnya, kehadiran lebih separuh daripada perwakilan yang layak mengundi merupakan angka tinggi bagi persidangan yang tidak melibatkan pemilihan parti.

Dalam pada itu, Anthony turut berkata, DAP akan memberikan ruang kepada Perdana Menteri.

Terutamanya untuk menentukan hala tuju serta garis masa pelaksanaan tuntutan reformasi berkenaan.

Malah katanya, PMX sebelum ini memaklumkan beberapa pengumuman penting akan dibuat pada 30 Ogos.

Serta Hari Malaysia pada 16 September dan ketika pembentangan Belanjawan pada awal Oktober.

Justeru, keputusan persidangan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Sekurang-kurangnya sehingga tamat penggal Parlimen pada 2027.

Keputusan itu turut dilihat sebagai isyarat bahawa DAP mahu mengutamakan kestabilan kerajaan berbanding mengambil langkah drastik untuk keluar daripada pentadbiran sedia ada.

Pada masa sama, mandat yang diberikan perwakilan juga memberi ruang kepada kepimpinan DAP untuk terus menekan pelaksanaan agenda reformasi melalui saluran rundingan dalam kerajaan.

Perkembangan tersebut dijangka meredakan spekulasi mengenai kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini hangat diperkatakan.

Bagaimanapun, sejauh mana komitmen terhadap reformasi dapat direalisasikan akan bergantung kepada keputusan dan tindakan kerajaan dalam tempoh mendatang.

Oleh itu, DAP kini perlu memastikan mandat yang diberikan perwakilan diterjemahkan kepada tindakan konkrit.

Khususnya dalam perkara reformasi yang menjadi tuntutan utama parti.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=x6lQnbJyuCY&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *