PRU16: UMNO-PAS KIAN RAPAT, FORMULA KERUSI JADI PENENTU

Perkembangan hubungan UMNO dan PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin mendapat perhatian.

Terutamanya apabila kedua-dua parti kembali membuka ruang perbincangan selepas hubungan politik mereka melalui Muafakat Nasional (MN) berakhir.

Perkembangan itu turut disusuli kehadiran pemimpin PAS pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, selepas pemimpin UMNO menghadiri Muktamar PAS ke-72. 

Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, ruang untuk tahaluf siyasi atau persefahaman politik dengan PAS kini terbuka luas. 

Namun, hubungan tersebut belum boleh dianggap sebagai pakatan pilihan raya yang muktamad. 

UMNO sendiri memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan khas bagi menentukan hala tuju dan strategi kerjasama politik parti itu sebagai persediaan menghadapi PRU16. 

Pada masa sama, parti itu turut menegaskan komitmennya terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan sehingga tiba masa pilihan raya. 

Namun, persoalan paling besar sekiranya kerjasama UMNO-PAS diteruskan ialah pembahagian kerusi. 

Ini kerana, kedua-dua parti mempunyai kawasan pengaruh masing-masing.

Selain pernah bersaing secara langsung di sejumlah kawasan pada pilihan raya terdahulu.

Dalam konteks itu, rundingan bukan hanya berkisar kepada jumlah kerusi.

Tetapi turut melibatkan soal calon, kekuatan akar umbi, rekod pilihan raya, penerimaan pengundi serta kepimpinan selepas pilihan raya.

Cadangan yang diketengahkan Ahmad Zahid mengenai ‘Grand Collaboration’ juga perlu dibezakan daripada penggabungan parti. 

Beliau juga menjelaskan, konsep itu adalah persefahaman politik untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan, bukannya penyatuan atau penggabungan parti. 

Bagi UMNO lagi, perkembangan tersebut turut perlu diseimbangkan dengan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu kekal menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak akan mengubah kerajaan sebelum pilihan raya. 

Justeru, persoalan sebenar menjelang PRU16 bukan semata-mata sama ada UMNO dan PAS boleh kembali duduk semeja.

Tetapi sejauh mana kedua-duanya mampu menterjemahkan persefahaman itu kepada formula pilihan raya yang dipersetujui bersama?

Sekiranya rundingan berlanjutan, isu kepimpinan selepas pilihan raya juga berpotensi menjadi perkara penting. 

Sebarang pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU16 tetap bergantung kepada keputusan pilihan raya, sokongan majoriti Ahli Parlimen dan proses perlembagaan berkaitan pelantikan Perdana Menteri.

Dengan PRU16 masih belum berlangsung, kedudukan sebenar setiap parti akan ditentukan oleh mandat pengundi. 

Buat masa ini, perkembangan UMNO-PAS lebih tepat dilihat sebagai proses membina persefahaman dan menerokaruang kerjasama, bukannya formula kemenangan yang telah dimuktamadkan.

Daripada PAU ke Muktamar, daripada persefahaman kepada rundingan kerusi.

Oleh itu, PRU16 bakal menguji sama ada hubungan baharu UMNO-PAS mampu bertahan apabila kepentingan politik sebenar mula diletakkan di atas meja.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8MT4GjKe_Xs&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *