KKM ISI SLOT PPS BERPERINGKAT, 529 GRADUAN LAPOR DIRI

PETALING JAYA: Proses pengambilan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) terus berjalan lancar apabila seramai 529 graduan bagi Siri 1 Tahun 2026 telah melapor diri setakat ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, angka tersebut hanya melibatkan pengambilan bagi siri pertama tahun ini, manakala pengisian penuh akan dilakukan secara berperingkat. Secara purata, antara tahun 2022 hingga 2025, sekitar 3,200 PPS diserap setiap tahun.

Menurut KKM, pengambilan PPS dilaksanakan dalam enam siri setahun berikutan jadual tamat pengajian graduan perubatan yang berbeza. Justeru, baki daripada kuota 5,000 slot latihan siswazah akan diisi secara berfasa apabila graduan melapor diri.

Dalam perkembangan berkaitan, pelantikan tetap pegawai perubatan kontrak bagi tahun 2026 turut dilaksanakan secara berperingkat. Setakat Februari lalu, seramai 328 daripada 4,500 pegawai telah menerima tawaran jawatan tetap, manakala baki 4,172 lagi akan ditawarkan secara berfasa sepanjang tahun ini.

KKM menjelaskan, pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk penurunan kuasa pelantikan kontrak kepada kementerian, pengecualian temu duga bagi jawatan tertentu, serta penambahan jawatan baharu melalui projek fasiliti dan naik taraf hospital.

Selain itu, penambahbaikan elaun seperti Elaun Atas Panggilan dan bayaran tugasan luar waktu pejabat turut diperkenalkan bagi meningkatkan kebajikan petugas kesihatan.

Bagi tahun 2026, lebih 18,000 pengisian jawatan telah diluluskan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan termasuk sektor perubatan dan kesihatan, dengan pelaksanaan dibuat secara strategik bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

KKM turut menegaskan bahawa pengurusan tenaga kerja kesihatan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, di mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menentukan kuota perjawatan, SPA mengurus pelantikan, manakala kementerian bertanggungjawab terhadap penempatan dan penyampaian perkhidmatan.

“Kami menghargai pandangan semua pihak dan komited memperkukuh sistem kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *