NURAMIRAH LEDAK ENAM GOL, NEGERI SEMBILAN BELASAH UNITEN 15-0


SEREMBAN – Aksi cemerlang Nuramirah Shakirah Zulkifli menjadi pemangkin kemenangan besar pasukan hoki wanita Negeri Sembilan apabila membelasah MUTIARA-MSSPP-PSHA-PKS (Uniten) 15-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2026 di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.

Pemain kebangsaan itu muncul wira perlawanan dengan menjaringkan enam gol pada minit ke-10, 13, 23, 49, 52 dan 58, termasuk tiga gol menerusi pukulan sudut penalti.

Kemenangan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahmansekali gus melonjakkan mereka ke tangga teratas liga dengan sembilan mata serta 31 jaringan, manakala Uniten terus terperosok di kedudukan tercorot selepas mengalami kekalahan kedua musim ini.

Negeri Sembilan membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Nur Zariefah Dania Mazlan sebelum terus menguasai permainan dengan hampir 75 peratus penguasaan bola.

Pesta gol diteruskan menerusi sumbangan Fatin Shafika Mohd. Sukri (m-12, 35), Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-14, 47), Siti Nur Arfah Mohd. Nor (m-16, 29) serta pemain import dari India, Vandana Katariya(m-40, 60).

Dengan tambahan enam gol itu, Nuramirah kini mengetuai senarai penjaring terbanyak liga dengan 11 gol, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbisa dalam kejohanan.

Sementara itu, kemenangan bergaya itu turut disaksikan Aminuddin Harun yang juga Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan. Beliau memuji komitmen tinggi pemain dan yakin pasukan itu mampu mencapai sasaran memenangi tiga trofi musim ini.

“Setakat ini kita sudah meraih Piala Sumbangsih dan saya percaya Piala LHWM serta Piala Vivian May Soars juga mampu dimenangi,” katanya.

Sebagai penghargaan, setiap pemain dan jurulatih pasukan turut menerima insentif RM200 atas kejayaan mereka sebelum ini.

Nuramirah pula menegaskan beliau akan terus fokus untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam perlawanan akan datang tanpa memandang rendah mana-mana lawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *