PESAWAT UNITED AIRLINES LANGGAR TIANG LAMPU

WASHINGTON – Sebuah pesawat milik United Airlines berdepan insiden cemas apabila melanggar tiang lampu dan sebuah trak penghantaran ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New Jersey, pada Ahad.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, pesawat jenis Boeing 767 itu yang tiba dari Venicemendarat dengan selamat walaupun melanggar struktur di kawasan lebuh raya berhampiran lapangan terbang.

Insiden berlaku kira-kira jam 2 petang waktu tempatan apabila pesawat berkenaan yang membawa 221 penumpang dan 10 kru dilaporkan melintasi Lebuh Raya New Jersey Turnpike pada kelajuan tinggi sebelum merempuh tiang lampu serta sebuah trak yang sedang bergerak.

Pihak Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang dan kru pesawat. Bagaimanapun, pemandu trak mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Naib Presiden Kanan H&S Bakery, Chuck Paterakis berkata, trak milik syarikat itu tidak mengalami kerosakan serius, namun roda pesawat dilaporkan terkena bahagian tingkap pemandu, menyebabkan kecederaan kecil.

Dalam kenyataan berasingan, United Airlines memaklumkan siasatan keselamatan menyeluruh sedang dijalankan dan kru penerbangan terlibat digantung tugas sementara siasatan berlangsung.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengesahkan pihaknya turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala Boeing dan Polis Negeri New Jerseybelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penerbangan, khususnya melibatkan laluan pendaratan yang berdekatan dengan lebuh raya utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *