KUALA NERUS: Penantian selama lapan tahun akhirnya membuahkan hasil apabila Program Pembangunan Plot Durian Musang King (PPPDMK) di Ladang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu berjaya mengeluarkan hasil pertama pada musim ini, sekali gus membuktikan keberkesanan penyelidikan dan pengurusan pertanian berasaskan ilmu.
Kejayaan yang dicapai pada Jun tahun ini menjadi pencapaian penting buat UniSZA menerusi Pusat Pengurusan Ladang (PPL) selepas melaksanakan perancangan rapi bermula daripada pemilihan benih, penyediaan kawasan tanaman, penjagaan pokok sehingga pengurusan nutrien dan kawalan penyakit secara sistematik.
Dekan Fakulti Pertanian Lestari UniSZA berkata, program tersebut bukan sekadar memberi pulangan ekonomi kepada universiti, malah berfungsi sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar kepada pelajar dalam bidang pertanian, agroteknologi dan pengurusan ladang.
Menurutnya, pelajar berpeluang mempelajari keseluruhan rantaian pengeluaran durian premium, termasuk teknik cantuman benih, pengurusan tanaman, pembajaan, pengairan, kawalan perosak serta kaedah penuaian yang menepati piawaian industri.
Beliau berkata, penghasilan durian Musang King berkualiti tinggi itu turut membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor agromakanan negara melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi kepada komuniti serta pemain industri.
Katanya, kejayaan projek itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang penyelidikan berkaitan peningkatan hasil, adaptasi tanaman terhadap perubahan iklim dan pembangunan teknologi pertanian pintar yang lebih mampan.
Selain menjadi pusat pengajaran dan penyelidikan, ladang tersebut berpotensi dijadikan lokasi latihan industri, khidmat nasihat serta rujukan kepada usahawan dan pekebun yang berminat mengusahakan durian premium secara komersial.
Beliau berharap kejayaan PPPDMK menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasakan pendidikan berasaskan pertanian, sekali gus melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran praktikal, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri agromakanan negara.
