KOTA KINABALU – Pengorbanan guru pedalaman terus menjadi nadi pembangunan pendidikan negara apabila seorang pendidik dari Sabah, Lorenica Frenila Masundim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Loren berjaya mencipta aplikasi pembelajaran tulisan Jawi yang kini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Berkhidmat di kawasan pedalaman yang mencabar, Cikgu Loren bukan sahaja mendidik murid di dalam kelas, malah menjadi pembimbing dan sumber harapan kepada masyarakat setempat demi memastikan anak-anak di kawasan terpencil tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Setiap hari, guru-guru pedalaman terpaksa meredah jalan balak, sungai dan lumpur dengan cuaca tidak menentu demi melaksanakan amanah mendidik anak bangsa. Malah ramai sanggup berkorban menggunakan wang sendiri untuk membeli keperluan murid termasuk makanan, pakaian sekolah dan alat tulis.
Di sebalik kekurangan kemudahan sekolah, Cikgu Loren tampil menghasilkan aplikasi PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) yang dibangunkan bagi membantu murid dan masyarakat menguasai kemahiran membaca tulisan Jawi dengan lebih mudah dan pantas.
Aplikasi tersebut dibangunkan sejak tahun 2025 menerusi kajian doktor falsafah (PhD) beliau di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLPS) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan menggunakan model ADDIE sebagai asas pembangunan.
Kejayaan inovasi itu mula mendapat perhatian apabila PASCA-ج 1.0 memenangi anugerah perak dalam International Teaching and Learning Innovation Competition 2025 (i-TLIC), sebelum versi 2.0 meraih anugerah emas serta anugerah khas dalam Pertandingan Inovasi Alam Melayu (IMAN25) di UiTM Shah Alam.
Versi 3.0 turut menerima Anugerah Emas dalam Virtual Innovation Competition Exhibition VICE’25, manakala versi 4.0 dibentangkan dalam pertandingan Anugerah Guru Inovatif (AGI) 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Lebih membanggakan, versi terkini PASCA-ج 5.0 yang lebih interaktif bakal dipamerkan dan dipertandingkan di Jakarta, Indonesia pada Jun depan.
Menurut Cikgu Loren, aplikasi itu sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan agama serta bakal dimuat naik ke Play Store dan App Store apabila siap sepenuhnya nanti.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada guru-guru pedalaman lain untuk terus tabah berkhidmat walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup dan kekurangan kemudahan.
“Setiap insan dilahirkan dengan kebitaraan tersendiri. Gunakan peluang yang ada untuk terus berbakti kepada masyarakat dan pendidikan,” katanya.
