Kerajaan terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi tindakan agresif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun lalu, sebanyak 3.04 bilion SMS dan 2.5 bilion panggilan berunsur penipuan berjaya disekat.
Manakala 190,429 talian telefon yang dikenal pasti menghantar SMS meragukan turut ditamatkan bagi menghalang kegiatan sindiket scam daripada terus memperdaya orang ramai.
Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam melindungi pengguna daripada ancaman penipuan digital yang semakin kompleks.
Menurutnya lagi, MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, serta penyediaan maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan terhadap sindiket penipuan.
Dalam memperkukuh penguatkuasaan, MCMC bertindak di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Ia termasuk mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang mengandungi unsur penipuan kewangan dan boleh memudaratkan orang ramai.
Selain penguatkuasaan, kerajaan turut menyediakan saluran aduan rasmi menerusi ‘Consumer Redress Portal’ (CRP).
Ia juga bagi membolehkan pengguna melaporkan nombor telefon, laman sesawang atau akaun yang disyaki terlibat dalam aktiviti scam.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Julai 2026 pula, sebanyak 158 aduan berkaitan panggilan penipuan telah diterima dan diproses.
Sejak 1 September 2024, arahan sekatan terhadap SMS yang mengandungi pautan mencurigakan, permintaan maklumat peribadi dan nombor telefon bagi tujuan penipuan turut dikuatkuasakan sebagai langkah pencegahan awal.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan kewangan atau mengesyaki berlaku pemindahan wang akibat scam disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Ia bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat aliran dana serta membantu siasatan pihak berkuasa.
Usaha bersepadu kerajaan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh keselamatan siber negara, melindungi pengguna.
Di samping memastikan ekosistem komunikasi digital kekal selamat daripada ancaman sindiket penipuan.
Fahmi turut berkata, kejayaan menyekat berbilion SMS dan panggilan penipuan membuktikan kerjasama erat antara MCMC, syarikat telekomunikasi serta agensi penguat kuasa semakin berkesan dalam menangani jenayah siber.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh penggunaan teknologi dan analisis data bagi mengesan aktiviti scam sebelum ia sampai kepada pengguna.
Menurutnya yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, sindiket penipuan sentiasa mengubah taktik dan menggunakan pelbagai platform digital bagi memperdaya mangsa.
Justeru, pendekatan penguatkuasaan yang pantas dan menyeluruh perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang ancaman tersebut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi, kod TAC atau kata laluan dengan mana-mana pihak.
Pengguna juga disaran membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan yang mendakwa mewakili agensi kerajaan atau institusi kewangan.
Selain tindakan penguatkuasaan, usaha meningkatkan kesedaran awam melalui kempen literasi digital akan terus dipergiat bagi membantu masyarakat mengenal pasti modus operandi sindiket scam.
Malah, kerajaan juga yakin gabungan penguatkuasaan, pendidikan dan kerjasama semua pihak mampu mengurangkan kes penipuan dalam talian.
Orang ramai juga digesa sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan agar tindakan pantas dapat diambil sebelum lebih ramai menjadi mangsa.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=iphEHJRxVe8&ra=m
