PETALING JAYA – Kelab Golf Kinrara terus mencatat perkembangan positif selepas hampir sembilan bulan beroperasi semula di bawah pengurusan Green Care Services Sdn. Bhd. (Green Care Services) menerusi usaha menaik taraf padang, memperbanyak penganjuran kejohanan serta memperkukuh pembangunan bakat golf remaja.
Pengarah Urusan Green Care Services, Francis Chan berkata, sambutan daripada komuniti golf amat menggalakkan dengan purata lebih 5,500 pusingan permainan direkodkan setiap bulan sejak pengurusan baharu mengambil alih pada September tahun lalu.
Menurutnya, pihak pengurusan berpuas hati melihat ramai pemain kembali beraksi di Kelab Golf Kinrara, namun usaha menaik taraf padang akan diteruskan termasuk memulihkan kawasan rosak, menambah baik tee box serta meningkatkan kualiti keseluruhan padang bagi memastikan pengalaman bermain lebih memuaskan.
Beliau berkata, penambahbaikan menyeluruh yang dilaksanakan merangkumi pemulihan fairway, penstrukturan semula bunker, peningkatan kawasan tee box serta penyelenggaraan permukaan green yang lebih konsisten sehingga berjaya mengembalikan reputasi kelab itu sebagai antara destinasi golf pilihan.
Sementara itu, Pengurus Kelab Golf Kinrara, Johan Rosli berkata, pelbagai perubahan positif turut dilakukan terhadap kemudahan dan penyelenggaraan padang sehingga menarik minat lebih banyak penganjur untuk menganjurkan kejohanan di kelab berkenaan.
Katanya, pihak pengurusan turut menawarkan promosi dengan kadar yuran berpatutan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain amatur menikmati pengalaman bermain di padang yang telah dinaik taraf.
Selain memberi tumpuan kepada aspek fasiliti, Kelab Golf Kinrara turut melaksanakan Program Pembangunan Golf Remaja sejak Mei lalu yang dikendalikan barisan jurulatih profesional dengan penyertaan 24 pemain muda sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan golf.
Kelab itu juga mencipta sejarah sebagai kelab golf pertama di Malaysia yang memperkenalkan Forward Tees, iaitu tee khas untuk pemain baharu dan remaja bagi menjadikan sukan golf lebih mesra kepada golongan tersebut.
Susulan peningkatan kualiti padang, Kelab Golf Kinrara dipilih menjadi venue beberapa kejohanan utama termasuk Kejohanan Akhir Kebangsaan SportExcel, kejohanan MSSM Kuala Lumpur dan Selangor serta Kejohanan 100Plus Zon Tengah. Kelab itu kini turut membuat persiapan menganjurkan Kejohanan Terbuka Merdeka Kinrara sulung pada 5 dan 6 September depan yang menawarkan hadiah hole-in-one berupa sebuah kereta.
