KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal tanah air, Yani Bakhtiar, meneruskan misi memperkenalkan identiti fesyen Nusantara ke pentas antarabangsa menerusi koleksi kebaya dan batik yang akan dibawa ke New York.
Yani dijadual berangkat ke New York pada 5 September dengan membawa koleksi yang menggabungkan sutera, batik lukis tangan dan batik sarung.
Lebih istimewa, koleksi itu akan digayakan Ratu Cantik Malaysia 2024, Sandra Lim, sekali gus menampilkan kebaya dalam gaya lebih moden dan bersesuaian dengan cita rasa masyarakat Amerika Syarikat.
Menurut Yani, kebaya mempunyai ruang besar untuk dikembangkan menerusi pelbagai pendekatan moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Beliau turut merancang menampilkan Sandra menggayakan kebaya di sekitar Times Square, New York, dengan padanan skirt pendek bagi menarik perhatian generasi muda serta masyarakat antarabangsa.
Yani berkata, usaha memperkenalkan fesyen berteraskan warisan tempatan itu bukan perkara baharu kerana beliau sebelum ini membawa koleksinya ke Rusia pada Jun lalu dan menerima sambutan menggalakkan.
Selain kebaya, batik sarung, perincian manik dan rumbai-rumbai turut menjadi elemen utama dalam koleksi terbaharunya.
Dalam usaha mendekati golongan muda khususnya Gen Z, Yani turut merancang menghasilkan kebaya renda pada harga lebih mampu milik yang dipadankan dengan skirt batik untuk sambutan Aidilfitri akan datang.
Penyertaan Yani dalam Couture Fashion Week Malaysia (CFWM) 2026 di Kuala Lumpur pula menjadi platform penting untuk memperkenalkan karya berasaskan warisan Malaysia kepada khalayak antarabangsa. Acara itu menghimpunkan 16 pereka dari beberapa negara serta lebih 100 model antarabangsa. 3580e72b2edc0db9d75b31cf5657704c2bfc5c21.webarchive
Kebaya bukan sekadar busana tradisi, sebaliknya menjadi medium memperkenalkan identiti dan kreativiti Malaysia ke pentas dunia.
