KETUA SINDIKET MDMA TUMPAS, RM27.5 JUTA DILENYAPKAN

SEREMBAN – Ketua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak lebih tiga dekad maut ditembak polis dalam serbuan di sebuah rumah teres di Garden Homes, Seremban 2, di sini, kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 52 tahun itu dipercayai mempunyai kepakaran memproses dadah sejak 1990-an dan pernah ditahan sebanyak tiga kali sebelum ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek ditembak selepas bertindak agresif dan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan ketika polis menyerbu rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Menurutnya, tindakan melepaskan tembakan dilakukan bagi mempertahankan diri sebelum suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan menemukan 182.39 kilogram dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair, ketulan, pil dan serbuk dengan nilai keseluruhan kira-kira RM27.5 juta, selain peralatan memproses dadah serta sepucuk revolver.

Susulan operasi itu, polis turut menyerbu dua lokasi lain di sekitar Seremban 2 dan Tropicana Residence, Kuchai Lama, Kuala Lumpur, sebelum menahan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 35 tahun.

Walaupun tiada dadah ditemukan dalam dua serbuan berkenaan, siasatan mendapati kedua-duanya dipercayai membantu kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan serta luar negara.

Hussein berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan kawasan perumahan berkepadatan rendah sebagai lokasi operasi bagi mengaburi kegiatan mereka.

Polis percaya bahan prekursor diperoleh dari luar negara sebelum digunakan untuk menghasilkan MDMA atau ekstasi di makmal berkenaan.

Siasatan turut mendapati suspek utama dikehendaki bagi satu kes penculikan, manakala kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine dan ganja dalam saringan awal air kencing.

Kedua-duanya kini direman tujuh hari sehingga 13 September bagi membantu siasatan.

JSJN turut menyita tiga kenderaan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan hampir RM100,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952, dengan polis masih memburu beberapa suspek lain termasuk individu yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *