KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menanggung kos tambahan kira-kira RM40,000 bagi operasi pembersihan susulan peningkatan sekitar 130 tan sisa pepejal sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada hujung minggu lalu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Lizan Che Mamat berkata, perbelanjaan itu meliputi bayaran kerja lebih masa (OT) petugas kebersihan, pertambahan perjalanan lori kutipan sampah serta lanjutan waktu operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan bagi memastikan kawasan program dan bandar raya kembali bersih.
Menurut beliau, walaupun MBKT telah menyediakan tong sampah di lokasi program, jumlah kehadiran peserta yang melebihi 100,000 orang menyebabkan kemudahan berkenaan tidak mencukupi, selain masih terdapat segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata.
Katanya, sebahagian besar sisa yang dikutip terdiri daripada plastik makanan dan minuman, sekali gus memaksa MBKT menambah kekerapan kutipan sampah bagi mengelakkan pencemaran serta memastikan kebersihan kawasan awam terus terpelihara.
Beliau berkata, situasi itu menjadi peringatan bahawa kejayaan menghimpunkan puluhan ribu pengunjung perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran sivik yang tinggi, terutama dalam aspek pengurusan sisa dan pemeliharaan kebersihan lokasi penganjuran.
Susulan cabaran itu, MBKT sedang meneliti cadangan untuk mewajibkan setiap penganjur acara berskala besar mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai antara syarat kelulusan penganjuran program pada masa akan datang. Penilaian semula kadar deposit pembersihan turut akan dipertimbangkan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, beberapa langkah penambahbaikan turut dicadangkan termasuk menambah tong sampah sementara, meningkatkan kekerapan kutipan pada waktu siang dan malam, melantik sukarelawan sebagai Duta Kebersihan serta memperkukuh penguatkuasaan mengikut undang-undang kecil sedia ada.
Dalam pada itu, Lizan menegaskan MBKT tetap mengalu-alukan penganjuran acara berskala besar kerana ia memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan serta merancakkan sektor pelancongan negeri. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu program perlu disertai dengan sikap bertanggungjawab semua pihak dalam menjaga kebersihan persekitaran.
