JOSHUA PERTAHAN GELARAN RSGC SELEPAS PLAYOFF MENDEBARKAN

KUALA LUMPUR – Bintang golf muda negara, Joshua Lim berjaya mempertahankan trofi Kejohanan Jemputan Remaja RSGC 2025 selepas menewaskan pencabar utamanya dari Singapura, Reyes Halim menerusi aksi penentuan sudden death playoff yang mendebarkan di The Royal Selangor Golf Club (RSGC).

Joshua menamatkan saingan tiga hari kejohanan dengan jumlah keseluruhan 215 pukulan, sama seperti Reyes sebelum kedua-dua pemain diheret ke playoff selepas terikat sehingga hole pertama penentuan.

Pemain Korea Selatan, Hanjaeho pula menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 218 pukulan.

Joshua mengakui Reyes memberikan tentangan sengit sepanjang kejohanan dan menyifatkannya sebagai antara lawan terbaik pernah dihadapinya setakat ini.

Menurutnya, aksi playoff berlangsung dalam keadaan penuh tekanan apabila kedua-dua pemain sudah keletihan selepas mengharungi saingan panjang, namun beliau bernasib baik kerana berjaya menyempurnakan peluang pada saat penting.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Joshua mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lalu apabila mencatat 217 pukulan untuk menewaskan Lee Shu dari Taiwan dan Kang Geon dari Korea Selatan.

Selepas kejayaan tersebut, Joshua kini mengalihkan fokus kepada kejohanan berkonsepkan kem kolej Amerika Syarikat di Singapura dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam saingan wanita, wakil Singapura, Chloe Ng muncul juara selepas mengumpul 224 pukulan, diikuti pemain negara Bernice Hwang Ee Xuan di tempat kedua dengan 226 pukulan, manakala Anjanette Tan dari Singapura menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 227 pukulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *