JOHOR BAHRU – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara bergaya ke suku akhir Piala FA selepas membelasah UM-Damansara United 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan besar itu menyaksikan Harimau Selatan mara dengan agregat 14-1, sekali gus menyerlahkan perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan Eddy Israfilov selepas menerima hantaran lintang Manuel Hidalgo dari sebelah kiri.
Stoichkov kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-22 menerusi rembatan rendah hasil umpanan Stuart Wilkin, sebelum Wilkin menjadikan kedudukan 3-0, 10 minit kemudian.
Bersambung babak kedua, JDT terus meningkatkan tekanan apabila Stoichkov meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-48, diikuti jaringan Daniesh Amirruddin sembilan minit kemudian.
Wilkin melengkapkan gol keduanya pada minit ke-75 menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti, sebelum Shahab Zahedi menambah jaringan dua minit selepas itu.
Israfilov turut mencatat gol kedua pada minit ke-80, manakala Daniesh sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-86 menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Hidalgo.
Zahedi kemudian melengkapkan pesta gol JDT pada minit ke-90 untuk memastikan skuad kendalian Harimau Selatan menutup aksi dengan kemenangan 10-0.
Kemenangan itu mengukuhkan misi JDT untuk mempertahankan trofi Piala FA, dengan pasukan berkenaan kini menanti pemenang antara Penang FC dan Melaka FC bagi aksi suku akhir.
