TIGA SEKELUARGA TERLANTAR AKIBAT PENYAKIT GENETIK

KUANTAN – Tiga sekeluarga di Kampung Anak Air, di sini, berdepan ujian berat apabila menghidap penyakit genetik Spinocerebellar Ataxia yang menyebabkan mereka kini hanya mampu terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuhnya.

Mereka ialah Suriani Rani, 41, adiknya, Abdul Halim Rani, 30, serta anak saudara mereka, Norhafizah Abdul Rahman, 27, yang masing-masing mengalami kemerosotan progresif pada otak dan sistem saraf tunjang sehingga menjejaskan koordinasi pergerakan badan.

Abang mereka, Muhammad Ashrol Rani, 31, terpaksa meninggalkan pekerjaan di Johor Bahru dan pulang ke Kuantan bagi menjaga ketiga-tiga mereka sepenuh masa, manakala isterinya masih bekerja di Johor Bahru.

Menurut Muhammad Ashrol, kakaknya sudah menderita lebih 10 tahun, manakala adik dan anak saudaranya mengalami penyakit berkenaan sejak kira-kira enam tahun lalu.

“Ketiga-tiga mereka perlukan penjagaan sepenuhnya. Anak saudara saya pula sudah kehilangan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, kos lampin pakai buang dan susu khas untuk mereka bertiga mencecah hampir RM3,000 sebulan, sedangkan dirinya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana perlu menguruskan mereka.

Katanya, setiap seorang menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan harian mereka.

Bagi meneruskan kehidupan, Muhammad Ashrol kini mencari pendapatan dengan menjual air di Pantai Anak Air, selain mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos penjagaan tiga ahli keluarganya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Muhammad Ashrol di 013-7291900 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7035508521 atas nama Muhammad Ashrol Rani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *