MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 5,069 kilogram (kg) sirip ikan yu bernilai RM8.36 juta termasuk duti dan cukai yang dipercayai dibawa masuk dari Guyana, Amerika Selatan untuk pasaran tempatan.
Rampasan itu dilakukan pada 2 Julai lalu selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor yang diikrarkan sebagai kulit ikan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa dan mengurangkan kadar cukai import.
Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, pemeriksaan fizikal menemui 180 guni mengandungi sirip ikan yu yang sepatutnya diikrarkan di bawah kod tarif berbeza dengan kadar cukai 10 peratus serta memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perikanan Malaysia mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).
Beliau berkata, nilai dagangan sirip ikan yu yang dirampas dianggarkan RM7.6 juta, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM8.36 juta, menjadikannya antara rampasan terbesar membabitkan produk hidupan marin di negeri itu.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai didalangi sebuah syarikat pengimport yang berpangkalan di Selangor dan telah beroperasi sejak kira-kira lima tahun lalu. Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan kini sedang dikesan.
JKDM turut menjalankan siasatan terhadap pembekal di Guyana serta pihak yang membuat tempahan bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Roslan berkata, semua sirip ikan yu yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Perikanan Malaysia bagi tujuan pengesahan spesies bagi menentukan sama ada ia melibatkan spesies yang dilindungi di bawah CITES sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau turut menegaskan JKDM akan terus memperketat pemantauan dan pemeriksaan ke atas kontena berisiko tinggi di semua pintu masuk negara melalui kerjasama strategik dengan MAQIS serta agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyeludupan hidupan liar dan memastikan pematuhan terhadap peraturan import negara.
