KUALA LUMPUR – Jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di negara ini terus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, khususnya penduduk di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi.
Sehubungan itu, Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik ASEAN bagi mencari penyelesaian terhadap isu jerebu rentas sempadan yang dipercayai berpunca daripada pencemaran dari negara jiran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN merupakan platform terbaik untuk membincangkan isu yang membabitkan negara-negara anggota, termasuk masalah pencemaran udara yang memberi kesan merentasi sempadan.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN dalam masa terdekat, selain surat kepada rakan sejawatnya di Indonesia.
“Kami percaya ASEAN menjadi mekanisme terbaik untuk mengatasi isu serta masalah antara negara ASEAN dan kami lihat ia lebih berkesan untuk Sekretariat mengurus situasi ini,” katanya ketika ditemui di Bandar Seri Begawan.
Isu berkenaan turut dijangka menjadi antara perkara yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-27 Malaysia-Brunei.
Kebimbangan terhadap kesan jerebu terhadap kesihatan semakin meningkat apabila beberapa kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan IPU 217, manakala Sri Aman mencatatkan 186, Sarikei (173), Kuching (171) dan Samarahan (170).
Sibu serta Samalaju masing-masing merekodkan bacaan 156, diikuti Bintulu (153), Mukah (125) dan Kapit (108).
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran berkaitan kualiti udara di negeri itu perlu dinilai semula berikutan pencemaran yang dipercayai berpunca dari luar negara.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap pencemaran rentas sempadan, berbeza dengan pencemaran yang berpunca daripada aktiviti tempatan seperti pembakaran terbuka.
Keadaan itu menjadikan isu jerebu bukan sekadar cabaran alam sekitar, malah memerlukan tindakan bersepadu antara negara bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan penduduk, terutama ketika bacaan pencemaran udara berada pada tahap tinggi.
