ALOR SETAR – Kekurangan pendengaran dan pertuturan ibu bapanya tidak pernah menjadi penghalang buat Arifah Azhari untuk memburu kecemerlangan dalam pendidikan sehingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76.
Graduan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), berusia 22 tahun itu menerima Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.
Anak kelima daripada sembilan beradik itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Awam hasil pencapaian membanggakan dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.
Arifah berkata, kedua-dua ibu bapanya, Azhari Zainol dan Che Asma Hamzah yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan sejak lahir, sentiasa memberikan dorongan supaya dia belajar bersungguh-sungguh.
“Walaupun cara kami berkomunikasi berbeza, kasih sayang dan sokongan emak serta abah sentiasa menjadi kekuatan saya untuk terus berjaya,” katanya.
Menurutnya, sejak kecil, urusan persekolahannya banyak dibantu abang, kakak dan ahli keluarga, manakala bahasa isyarat menjadi medium komunikasi utama dalam kehidupan seharian.
Katanya, bapanya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia (USM) turut menjadi antara tonggak utama keluarga dalam membesarkan sembilan beradik.
Arifah berkata, kejayaan yang diraih bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut didorong pengorbanan keluarga, doa ibu bapa, bimbingan guru dan pensyarah serta sokongan rakan-rakan sepanjang pengajian.
Semangat saling membantu dalam keluarga juga menjadi pencetus kejayaannya apabila abang-abangnya mengumpulkan wang untuk membeli sebuah komputer riba yang pada awalnya digunakan kakaknya sebelum diserahkan kepadanya.
Kisah Arifah membuktikan perbezaan latar belakang keluarga dan kaedah komunikasi bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, sebaliknya sokongan keluarga, keazaman dan usaha berterusan mampu menjadi pemangkin kecemerlangan dalam pendidikan.
