KOTA BHARU – Hampir 100,000 pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan sah sejak 1 September 2016 berisiko berdepan pelbagai implikasi undang-undang susulan keputusan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menghentikan pengeluaran surat pengesahan perkahwinan.

Langkah itu dijangka memberi kesan besar terhadap proses pendaftaran perkahwinan di pejabat agama, selain menimbulkan isu berkaitan status anak, tuntutan harta pusaka, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hak faraid dan urusan perceraian.

Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Datuk Ahmad Nazri Minhat berkata, notis yang dikeluarkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada 1 Jun lalu menetapkan surat pengesahan tidak lagi diberikan kepada pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, arahan tersebut difahamkan berpunca daripada ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dikatakan terpakai secara retrospektif kepada perkahwinan yang berlangsung bermula 1 September 2016, sekali gus berpotensi menjejaskan ratusan ribu pasangan jika dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, surat pengesahan konsulat merupakan antara dokumen penting bagi membolehkan pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama di Malaysia agar perkahwinan diiktiraf di sisi undang-undang serta memudahkan urusan berkaitan keluarga pada masa hadapan.

Beliau menjelaskan, kegagalan mendapatkan dokumen tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak dapat mendaftarkan perkahwinan, manakala anak berisiko berdepan masalah dalam urusan penamaan kepada bapa kandung. Selain itu, wanita yang ditinggalkan suami mungkin menghadapi kesukaran memfailkan perceraian, manakala waris pula berdepan cabaran membuat tuntutan melibatkan harta pusaka, KWSP, Perkeso dan hak faraid.

Ahmad Nazri turut mendakwa berlaku ketidakselarasan dalam pelaksanaan prosedur apabila terdapat pejabat agama yang masih menerima pendaftaran perkahwinan tanpa surat pengesahan konsulat, sedangkan Mahkamah Syariah masih memerlukan dokumen berkenaan bagi tujuan tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menyemak semula pelaksanaan dasar tersebut serta menyelaraskan prosedur antara pejabat agama dan Mahkamah Syariah bagi mengelakkan rakyat terus berdepan kekeliruan.

Beliau turut mencadangkan supaya dasar baharu itu dilaksanakan secara prospektif bermula Julai 2026, iaitu hanya melibatkan pasangan yang bernikah selepas tarikh tersebut tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah, sekali gus memberi keadilan kepada pasangan yang telah bernikah bertahun-tahun sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *