KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas terus menjadi perhatian apabila parti itu didakwa masih gagal menampilkan figura yang benar-benar diyakini untuk menerajui pembangkang meskipun Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Faiz Fadzil berkata, pelantikan Dr Samsuri dilihat lebih kepada usaha Pas mempertahankan pengaruh dalam PN daripada menampilkan tokoh yang benar-benar berwibawa.

Menurut beliau, tindakan Pas yang masih enggan menamakan Dr Samsuri sebagai calon Perdana Menteri PN membuktikan gabungan itu sebenarnya berdepan krisis keyakinan terhadap kepimpinan sendiri.

“Jika benar beliau memiliki kemampuan besar sehingga dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PN, mengapa Pas masih tidak berani mengangkat beliau sebagai calon Perdana Menteri?” katanya.

Beliau menyifatkan kenyataan pimpinan Pas yang cuba menafikan isu ketandusan pemimpin sebagai tidak konsisten dan mengelirukan rakyat.

Faiz turut mempersoalkan rekod Dr Samsuri sebagai Ahli Parlimen yang menurutnya belum menampilkan perbahasan atau idea besar yang mampu meyakinkan rakyat mengenai hala tuju negara sekiranya PN diberi mandat mentadbir.

Katanya, rakyat hari ini mahukan pembangkang yang matang, mempunyai dasar jelas serta mampu menawarkan penyelesaian terhadap isu ekonomi dan kos sara hidup, bukannya sekadar memainkan sentimen politik sempit.

Dalam masa sama, beliau membandingkan situasi itu dengan kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang disifatkan telah membuktikan kewibawaan sejak menjadi Ketua Pembangkang lagi melalui perbahasan berfakta dan perjuangan dasar yang konsisten.

Menurut Faiz, kestabilan politik yang dinikmati negara ketika ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada pemulihan ekonomi, pengukuhan nilai ringgit serta pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan rakyat.

Beliau berkata, keyakinan pelabur terhadap negara juga semakin meningkat hasil pentadbiran kerajaan yang lebih stabil dan jelas hala tujunya.

“Rakyat perlu menilai secara matang kemampuan sebenar Pas dan PN sebelum membuat keputusan pada pilihan raya akan datang kerana negara tidak boleh dipertaruhkan kepada politik retorik dan permainan persepsi,” katanya lagi.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia, Syahir Sulaiman menafikan dakwaan Pas ketandusan pemimpin dan mempertahankan kemampuan Dr Samsuri mentadbir berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Besar Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *