NILAI – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai dan Labu sebagai kunci untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat diteruskan.
Calon PH DUN Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata, mandat baharu daripada rakyat penting bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai projek strategik serta inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
Menurut beliau, rekod pentadbiran PH sepanjang lapan tahun lalu membuktikan keupayaan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan baik apabila nilai pelaburan meningkat daripada RM1.4 bilion pada 2017 kepada RM19 bilion tahun lalu, manakala enam bulan pertama tahun ini merekodkan pelaburan sebanyak RM13 bilion.
Katanya, peningkatan hasil dan rizab tunai negeri membolehkan kerajaan memperluaskan pelbagai program kebajikan termasuk bantuan kelahiran bayi, persekolahan, pendidikan tinggi, perkahwinan, pesakit kanser serta bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.
Arul berkata, hubungan yang sehaluan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Nilai dan Labu, termasuk pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, penyambungan Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek, kompleks sekolah baharu, kompleks mahkamah Nilai dan blok tambahan sekolah di Bandar Baru Nilai.
Beliau berkata, kerajaan juga akan membangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 400 unit rumah bernilai RM117 juta bermula tahun depan bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman mampu milik.
Selain itu, pembangunan kawasan perindustrian baharu di bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), termasuk projek melibatkan pelabur utama seperti Eco World, Tabung Haji dan Sime Darby, dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, usaha itu bertujuan memastikan anak-anak Negeri Sembilan tidak lagi perlu berhijrah ke Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Singapura semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi memastikan kemenangan bukan sahaja di DUN Nilai, malah turut memberikan sokongan kepada calon PH di DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, bagi memastikan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi DUN dapat direalisasikan.
Beliau turut menyeru semua pengundi, termasuk anak-anak Negeri Sembilan yang berada di luar kawasan, pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memastikan PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan untuk penggal akan datang.
