IPT PERLU TAMBAH KURSUS OT, ST TANGANI KEKURANGAN TERAPI AUTISME

PETALING JAYA – Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran memperbanyakkan penawaran kursus jurupulih perubatan cara kerja (OT) dan juruterapi percakapan (ST) bagi memastikan bekalan tenaga profesional dalam bidang terapi autisme dapat memenuhi keperluan kanak-kanak yang semakin meningkat.

Pakar Klinikal Psikologi Kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, jumlah graduan dalam kedua-dua bidang berkenaan ketika ini masih terlalu rendah, sekali gus menyumbang kepada kekurangan tenaga terapi khususnya di fasiliti kesihatan awam.

Menurut beliau, daripada lebih 30 universiti awam dan swasta di negara ini, hanya beberapa institusi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan pengajian berkaitan OT dan ST, itu pun tidak semestinya kedua-dua bidang ditawarkan di institusi yang sama.

“Bilangan pakar dalam bidang OT dan ST untuk kanak-kanak autisme ini tidak ramai di klinik kerajaan atau hospital kerajaan.

“Kita perlu melihat semula jumlah universiti yang mengeluarkan graduan dalam bidang OT dan ST kerana hanya beberapa universiti sahaja menawarkan kursus ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kekurangan tenaga pakar itu turut menyebabkan kanak-kanak autisme terpaksa menunggu antara enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan sesi terapi di kemudahan kesihatan awam.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 14 pakar subkepakaran perkembangan kanak-kanak, termasuk enam yang masih menjalani latihan, bagi memenuhi keperluan puluhan ribu kanak-kanak di seluruh negara.

Sehubungan itu, Noor Aishah berkata, IPT perlu segera memperluaskan penawaran program OT dan ST, selain memperkenalkan kursus jangka pendek atau latihan tambahan bagi membantu menangani kekurangan tenaga profesional dalam tempoh lebih singkat.

Langkah berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan kapasiti tenaga kerja dalam bidang terapi autisme, malah berpotensi mengurangkan tempoh menunggu kanak-kanak untuk mendapatkan intervensi awal yang penting bagi menyokong perkembangan komunikasi, kemahiran sosial dan keupayaan menjalani kehidupan seharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *