Kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi sehingga Disember 2026 meskipun pasaran tenaga global kembali berdepan ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kini mempergiat pemantauan terhadap risiko tenaga dan rantaian bekalan global.

Ia termasuk kemungkinan gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang berpotensi meningkatkan harga minyak, kos logistik serta harga bahan mentah.

Menurutnya, bagi menjamin bekalan tenaga negara, kerajaan melaksanakan tiga strategi utama iaitu mempelbagaikan sumber import petroleum, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.

Beliau turut berkata, purata harga minyak mentah Brent meningkat 5.9 peratus kepada AS$73.94 setong bagi tempoh 6 hingga 10 Julai.

Manakala harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat 7.9 peratus berikutan kebimbangan pasaran terhadap gangguan bekalan melalui Selat Hormuz. 

Namun, harga arang batu kekal stabil hasil peningkatan pengeluaran dan inventori di China serta India.

Dalam perkembangan berkaitan, permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia meningkat 2.5 peratus kepada 20,832 megawatt.

Namun masih berada dalam margin rizab bekalan elektrik negara dan tidak menjejaskan kestabilan sistem tenaga.

Akmal turut memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri menilai tahap keterjaminan makanan negara.

Di mana stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik selama enam bulan, manakala harga beras putih tempatan kekal tanpa kenaikan.

Tambahan lagi, beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti cadangan daripada industri plastik yang berdepan tekanan akibat peningkatan kos bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global, bagi memastikan daya saing sektor pembuatan terus diperkukuh.

Walaupun berdepan cabaran luaran, kerajaan yakin ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan momentum pertumbuhan yang disokong permintaan domestik, pelaburan serta eksport.

Dan sekali gus mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus bagi tahun 2026. 

Kerajaan turut menegaskan akan terus memantau perkembangan geopolitik global secara menyeluruh.

Ia bagi memastikan sebarang risiko terhadap bekalan tenaga dapat ditangani lebih awal. 

Pada masa sama, semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan memperkukuh koordinasi bagi menjamin kelancaran rantaian bekalan serta mengurangkan impak kepada pengguna dan industri. 

Sehubungan dengan itu, langkah proaktif itu diharap dapat mengekalkan kestabilan ekonomi negara.

Di samping melindungi kesejahteraan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. 

Kerajaan turut menegaskan akan terus bertindak berasaskan data dan penilaian semasa bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin serta harga barangan tidak terjejas secara mendadak.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=NS9uGszmOjU&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *