PONTIAN – Hospital Pontian (HP) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang kecewa dengan layanan diterima ibunya ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan pada 16 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah HP, Dr. R. Parameswaran bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian yang tular di media sosial.
Menurutnya, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital sebelum sebarang ulasan lanjut diberikan.
“Pihak HP sedang membuat siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Kosmo! semalam.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial menggunakan nama @Bella Hanna Art mendakwa ibunya terpaksa menunggu kira-kira tiga jam setengah sebelum menerima rawatan di Unit Kecemasan HP.
Menurut Bella, dia membawa ibunya ke hospital kira-kira pukul 11.50 pagi selepas wanita berkenaan mengalami bengkak pada kaki yang dipercayai berkaitan dengan penyakit buah pinggang dihidapinya.
Katanya, selepas menunggu lama tanpa dipanggil, dia beberapa kali bertanya kepada kakitangan di kaunter mengenai keadaan ibunya namun diminta terus menunggu sehingga dipanggil.
“Selepas tiga kali bertanya, barulah kakitangan tersebut membenarkan ibu saya masuk bertemu doktor. Ujian X-ray kemudian mendapati jantung ibu saya bengkak dan dipenuhi air,” dakwanya.
Bella turut mendakwa doktor bertugas memaklumkan keadaan itu sebagai perkara biasa bagi pesakit buah pinggang sebelum meminta dia membawa ibunya pulang.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan, Bella kemudian membawa ibunya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, sebaik tiba di hospital berkenaan, ibunya terus dibawa ke Unit Kecemasan untuk pemeriksaan.
“Doktor bertugas memberitahu, jika lambat membawa emak saya, mungkin sudah tiada,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung kelewatan dan layanan terhadap pesakit itu masih dalam siasatan HP.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau menularkan dakwaan yang belum disahkan sehingga laporan penuh berhubung kejadian tersebut diperoleh.
