PETALING JAYA – Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk susulan beberapa kemalangan, termasuk kemalangan membabitkan motosikal di beberapa lokasi.
Seorang pengguna Threads, @D@iecastprince, memaklumkan kemalangan berlaku di lorong kanan Lebuh Raya Persekutuan selepas susur keluar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, kira-kira pukul 8.20 pagi.
Menurutnya, satu lagi kemalangan turut berlaku di laluan motosikal berhampiran kawasan sebelum Motorola, menyebabkan laluan berkenaan turut mengalami kesesakan panjang.
“Teruk kemalangan dekat Federal, lorong kanan melibatkan motosikal besar selepas susur keluar Lapangan Terbang Subang.
“Laluan motosikal sebelum Motorola pun ada kemalangan dan lorong motosikal pun jem panjang,” katanya menerusi Threads.
Keadaan itu menyebabkan perjalanan pengguna jalan raya dari arah Shah Alam menuju Kuala Lumpur dan Subang terganggu, dengan sebahagian mereka mendakwa terperangkap dalam kesesakan lebih sejam berbanding tempoh perjalanan biasa.
Seorang pengguna, Azina, berkata keadaan trafik menyebabkan dia lewat tiba di pejabat apabila kenderaan hanya bergerak perlahan.
“Lambatlah masuk pejabat pagi ini, baru dapat gerak sejengkal. Memang sesak teruk di Federal,” katanya.
Pengguna lain, @Ryzz, turut menasihatkan pengguna dari arah Shah Alam supaya bersabar berikutan beberapa kemalangan dilaporkan berlaku pagi ini.
Sementara itu, @Azhashim_ berkongsi video yang memaparkan sebuah kereta melalui laluan motosikal sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
“Disebabkan kau aku ‘menggelupur’ brek, sikit lagi nak melekat dekat pintu kiri kau. Lepas itu kau pergi saja macam itu,” katanya.
Setakat ini, belum ada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berhubung jumlah sebenar kemalangan, kenderaan yang terbabit atau keadaan mangsa.
Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati, khususnya di kawasan kemalangan, selain merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.
