MADANI TERKINI | MALAYSIA, BANGLADESH PASTIKAN PENGAMBILAN PEKERJA LEBIH TELUS, ADIL

Malaysia dan Bangladesh bersetuju memastikan sistem pengambilan pekerja antara kedua-dua negara dilaksanakan secara lebih telus, adil dan saksama, selain mempergiat usaha membanteras eksploitasi terhadap pekerja migran.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dalam pembangunan sumber manusia, khususnya membabitkan pekerja Bangladesh, menjadi faktor penting kepada kelangsungan ekonomi negara.

Bagaimanapun, kerjasama itu menimbulkan kebimbangan, terutama berkaitan isu kemanusiaan, layanan terhadap pekerja serta keperluan memastikan sistem pengambilan pekerja lebih telus dan adil.

“Ya, kita memerlukan tenaga kerja. Namun yang lebih penting ialah memastikan kebajikan pekerja dan keluarga mereka sentiasa terpelihara.

“Amalan mengeksploitasi pekerja, melayan mereka secara tidak adil dan menjadikan mereka sebagai sumber keuntungan peribadi tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia pada Isnin.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau menghargai keterbukaan Tarique dan komitmen bersama untuk menghentikan segala penyalahgunaan dalam sistem pengambilan pekerja.

“Kita mesti memimpin usaha menghentikan segala penyalahgunaan ini serta memastikan sistem yang diamalkan lebih telus, memenuhi keperluan kedua-dua negara dan pada masa sama melindungi kepentingan pekerja serta keluarga mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Tarique berkata, beliau memohon Malaysia mempertimbangkan pengambilan lebih ramai pekerja Bangladesh serta membuka semula pasaran buruh secepat mungkin.

Beliau turut membangkitkan isu pemutihan pekerja tanpa dokumen dan penghantaran pulang rakyatnya yang ditahan.

“Kami bersetuju bahawa proses pengambilan pekerja perlu dilaksanakan secara telus, adil dan saksama, dengan mengurangkan peranan orang tengah serta memastikan kos kepada pekerja lebih rendah,” jelasnya.

Terdahulu, PMX dan Tarique menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan serta Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan.

Untuk rekod, dalam bidang Promosi dan Fasilitasi Pelaburan, sesi pertukaran dokumen itu diwakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bidang Penyelidikan Banteras Keganasan diwakili Menteri Luar, Dato’ Seri Mohamad Hasan manakala dalam Kerjasama Kebudayaan pula, Malaysia diwakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing.

Dalam pada itu, Bangladesh pula diwakili Menteri Luarnya, Dr Khalilur Rahman.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=fIRoCmbo1gI&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *