SIDANG KHAS RCI TABUNG HAJI: BISING DI LUAR, LARI DI DALAM, MP PAS DAN WAWASAN PERLU JALANI RAWATAN MENTAL POLITIK

KENYATAAN MEDIA

1. Tindakan Ahli Parlimen PAS dan Wawasan meninggalkan Dewan Rakyat ketika penerangan mengenai Laporan RCI Tabung Haji sedang dibentangkan adalah tindakan politik yang tidak matang dan langsung tidak mencerminkan kesungguhan untuk membela kepentingan pendeposit.

2. Di luar Dewan mereka menjerit bising kononnya aset Tabung Haji dijual dan dilelong. Tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan RCI dibentangkan di dalam Dewan, mereka pula yang bangun meninggalkan tempat.

3. Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk,dengar dan bahas. Kalau tidak setuju berhujahlah fengan waras. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakanlah bukti. Tetapi keluar Dewan ketika penerangan sedang diberikan bukan tindakan seorang pejuang kebenaran.

“Orang yang benar-benar mahu jawapan tidak meninggalkan Dewan ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan.”

4. Alasan Perdana Menteri tidak hadir juga amat menghairankan. PM sedang menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor. Adakah kerana seorang Perdana Menteri sedang menerima rawatan, maka seluruh urusan negara dan penerangan kepada rakyat mesti dihentikan?

Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor memintanya berehat. Pembangkang lari keluar dewan atas nasihat Doktor mana pula. Tidak hadir kerana apa? Sakit apa atau takut fakta ka?

5. PM sedang menjalani rawatan. Saya cadangkan MP PAS dan WAWASAN perlu menjalani rawatan mental politik sebab bila fakta pahit dibentangkan, terus keluar Dewan.

6. Yang lebih penting, laporan RCI perlu dibaca secara menyeluruh. Kalau ada kelemahan dan kegagalan terdahulu yang didedahkan, kita wajib terima dan perbaiki. Kalau laporan yang sama turut menjelaskan rasional langkah pemulihan serta penstrukturan yang dibuat, jangan pula bahagian itu disorokkan kerana tidak sesuai dengan naratif politik.

Jangan pilih fakta daripada RCI seperti memilih lauk di pasar malam ambil yang sedap kepada selera politik, tinggalkan yang pahit kepada naratif sendiri.

7. Baca keseluruhan laporan. Bukan pilih muka surat yang boleh dijadikan bahan ceramah. Tabung Haji bukan pentas untuk mereka berlakon menjadi hero. Pendeposit tidak memerlukan hero yang pandai keluar Dewan. Pendeposit memerlukan wakil rakyat yang sanggup duduk, mendengar, bertanya dan mempertahankan amanah mereka dengan fakta.

Di luar Dewan mereka menjerit “Selamatkan Tabung Haji.” Di dalam Dewan, apabila laporan tentang Tabung Haji dibentangkan, mereka pula yang perlu diselamatkan daripada fakta. Politik identiti takut kepada soalan. Politik integriti berani duduk mendengar jawapan dan memberi pandangan serta cadangan. Bila fakta tidak sesuai dengan skrip, jalan paling mudah bagi pelakon politik ialah lompat keluar dari pentas.

MAHFUZ OMAR

NAIB PRESIDEN

PARTI AMANAH NEGARA

SELASA (11 OGOS 2026)

ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *