1. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji memberikan satu pengajaran yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Laporan tersebut secara tidak langsung memperakui kepincangan urus tadbir Tabung Haji di bawah kerajaan UMNO BN. Laporan tersebut juga memberi Pengajaran bukan sekadar mengenai tadbir urus sebuah institusi, tetapi juga tentang bahaya apabila sesuatu isu dijadikan modal politik tanpa menunggu fakta dan kebenaran.
2. Ketika kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019 melaksanakan langkah penyusunan semula Tabung Haji bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu, pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pimpinan PAS dan UMNO. Antara yang paling kerap dimainkan ialah dakwaan bahawa aset Tabung Haji kononnya dijual kepada pihak bukan Islam. Tuduhan itu disebarkan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit dan masyarakat Islam.
3. Hari ini, setelah RCI meneliti perjalanan dan isu-isu berkaitan Tabung Haji, rakyat berhak menilai semula fakta-fakta yang telah didedahkan. Perbahasan politik seharusnya berpaksikan bukti, bukan sekadar dakwaan. Dalam sebuah demokrasi yang matang, setiap pihak juga perlu bersedia menilai semula pendirian apabila fakta baharu muncul.
4. Laporan RCI Tabung Haji membuktikan Tabung Haji menjadi mangsa fitnah PAS dan UMNO. Persoalan yang lebih besar ialah, berapa ramai rakyat yang hidup dalam kebimbangan akibat tuduhan yang akhirnya tidak disokong oleh fakta? Berapa banyak keyakinan yang telah terhakis kerana politik yang mendahulukan persepsi daripada kebenaran? Orang Melayu mempunyai satu peribahasa yang cukup mendalam: “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” Fitnah juga begitu. Hanya memerlukan satu tuduhan untuk merosakkan keyakinan yang dibina bertahun-tahun. “Orang kampung tahu kalau kita menabur paku di atas jalan, bukan kita sahaja yang boleh terkena. Anak sendiri pun boleh terpijak. Fitnah juga begitu. Apabila ia dijadikan budaya politik, akhirnya seluruh masyarakat yang terluka.”
5. Sebab itu saya ingin mengingatkan rakyat Negeri Sembilan, khususnya menjelang hari pengundian. Jangan pajakkan akal kepada sesiapa. Sawah boleh dipajak. Kebun boleh dipajak. Rumah boleh disewa. Tetapi jangan sekali kali memajak akal fikiran kepada ahli politik. Apabila akal dipajak, kita berhenti bertanya. Apabila akal dipajak, kita berhenti menilai. Apabila akal dipajak, kita mudah percaya apa sahaja yang menakutkan kita.
6. Sedangkan Allah mengurniakan akal supaya manusia membezakan antara benar dan salah, antara fakta dan fitnah. PRN Negeri Sembilan bukan medan untuk rakyat memilih siapa yang paling pandai menakut-nakutkan orang. PRN Negeri Sembilan ialah medan untuk rakyat memilih arah negeri ini. Adakah kita mahu politik yang sentiasa memelihara ketakutan? Atau kita mahu politik yang membina harapan untuk masa depan, memperkukuh amanah dan menghormati kebenaran?
7. Saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya menjadikan pengajaran daripada RCI Tabung Haji sebagai iktibar. Jangan lagi biarkan politik fitnah menguasai pemikiran rakyat. Jangan lagi benarkan ketakutan menjadi kompas kepada keputusan kita. Biarlah fakta menjadi panduan, amanah menjadi pegangan dan harapan menjadi arah. Kerana akhirnya, kertas undi bukan sekadar memilih seorang calon. Kertas undi adalah suara rakyat untuk menentukan jenis politik yang ingin diwariskan kepada anak anak kita. Politik yang membina atau politik yang memecah belahkan. Jangan tabur paku di jalan demokrasi. Kelak seluruh rakyat yang akan menanggung luka. “Fitnah mungkin memenangi sorakan seketika, tetapi kebenaran akhirnya memenangi penilaian sejarah.”
MAHFUZ OMAR NAIB PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA
KAHMIS, 30 JULAI 2026
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
