SHAH ALAM – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila polis berjaya menggagalkan 10 cubaan membawa keluar bunga ganja bernilai RM33.4 juta ke Eropah.
Dalam operasi antara 28 Ogos hingga Isnin lalu, polis merampas sebanyak 418 kilogram (kg) ganja yang disimpan dalam 671 plastik ketulan, selain menahan 11 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai orang tengah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Katanya, 11 warga asing terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita berusia antara 17 hingga 62 tahun yang dipercayai diperalatkan sebagai keldai dadah untuk membawa keluar bekalan berkenaan.
Menurut beliau, suspek memasuki Malaysia sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial sebelum diarahkan membawa bagasi tertentu ketika meninggalkan negara, dengan tawaran bayaran serta pakej pelancongan yang ditanggung sindiket.
“Modus operandi ini menunjukkan sindiket mengeksploitasi individu yang terpedaya dengan tawaran perjalanan dan bayaran lumayan sebelum menjadikan mereka sebagai pembawa dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Selain dadah, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Toyota Vios dan Perodua Alza serta wang tunai berjumlah RM37,700 dalam pelbagai mata wang.
Shazeli berkata, semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala enam daripada mereka sudah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Enam lagi suspek masih direman bagi membantu siasatan, sementara lelaki tempatan yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pembekal dadah namun tidak mempunyai kaitan dengan sembilan sindiket lain.
Polis percaya kesemua suspek terbabit buat kali pertama dalam kegiatan berkenaan dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau percutian percuma ke luar negara yang berpotensi menjadikan mereka keldai dadah.
