PUTRAJAYA – Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) melalui UPUOnline® bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi akademik 2026/2027 untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf akan diumumkan pada Jumaat, 14 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan boleh disemak mulai 12 tengah hari, 14 Ogos hingga 5 petang, 23 Ogos 2026 melalui portal rasmi UPUOnline® serta aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.

“Keputusan boleh disemak menerusi portal UPUOnline® di upu.mohe.gov.my dan upu2.mohe.gov.my, selain aplikasi Mobile UPUPocket serta Mobile MyGov,” menurut kenyataan KPT.

Bagi calon yang berjaya menerima tawaran, pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran perlu dibuat mulai 15 hingga 23 Ogos menerusi laman sesawang UA masing-masing.

KPT berkata, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA mulai 15 Ogos selepas calon membuat pengesahan setuju terima dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran dibenarkan mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline®.

Permohonan rayuan dibuka selama 10 hari bermula 14 Ogos pukul 12 tengah hari hingga 23 Ogos pukul 5 petang, dengan pemilihan tertakluk kepada kekosongan tempat selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai.

KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2026/2027 adalah muktamad dan calon tidak dibenarkan memohon pertukaran program pengajian atau UA selepas menerima tawaran.

Sebarang pertanyaan berkaitan UPUOnline® boleh diajukan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi melalui talian 03-8684 2363 atau e-mel upu@mohe.gov.my. Calon juga disaran mengikuti saluran rasmi BKPA UPU bagi mendapatkan maklumat terkini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *