ANAK KRAKATAU MELETUS, 170,000 PENUMPANG TERKANDAS

JAKARTA – Letusan Gunung Anak Krakatau menyebabkan operasi penerbangan di lapan lapangan terbang di Indonesia terganggu, dengan lebih 170,000 penumpang terkandas susulan kehadiran abu gunung berapi di ruang udara.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi mengarahkan semua syarikat penerbangan memudahkan hak penumpang yang terjejas, termasuk pilihan menjadualkan semula penerbangan atau mendapatkan bayaran balik tiket.

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta antara lapangan terbang yang melanjutkan penutupan operasi sehingga jam 6 petang Isnin, susulan peningkatan aktiviti letusan dan pengesanan abu gunung berapi.

Setakat 6.30 pagi Isnin, sebanyak 243 penerbangan dan 29,619 penumpang terjejas di lapangan terbang berkenaan, membabitkan 184 penerbangan domestik, 54 antarabangsa dan lima penerbangan kargo.

Gangguan melibatkan pembatalan, kelewatan serta perubahan haluan penerbangan ke lapangan terbang lain.

Pihak berkuasa turut menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.

Letusan Anak Krakatau yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Jakarta itu turut menyebabkan abu gunung berapi memasuki ruang udara, sekali gus menjejaskan keselamatan dan kelancaran operasi penerbangan.

Pihak berkuasa Indonesia kini memantau perkembangan aktiviti gunung berapi berkenaan dan keadaan ruang udara sebelum operasi penerbangan dapat disambung sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *