GELOMBANG ROHINGYA DIJANGKA BERULANG SEPTEMBER INI

PETALING JAYA – Malaysia dijangka sekali lagi berdepan peningkatan kemasukan pelarian Rohingya melalui laluan laut menjelang September susulan perubahan musim angin monsun yang lazimnya memudahkan perjalanan bot dari kawasan konflik ke rantau Asia Tenggara.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, corak tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah berulang sejak sekian lama setiap kali keadaan laut dan cuaca mengizinkan.

Menurut beliau, pengalaman lalu menunjukkan kumpulan pelarian akan mengambil kesempatan terhadap perubahan arah angin bagi meneruskan perjalanan ke beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia yang sering dianggap sebagai destinasi pilihan.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa supaya membuat persediaan lebih awal dari segi pemantauan sempadan maritim, operasi menyelamat serta pengurusan kemasukan bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan negara dan nyawa pelarian.

Katanya, isu Rohingya sering kembali menjadi perhatian masyarakat apabila berlaku insiden bot pelarian, namun perbincangan mengenainya lazimnya reda tanpa penyelesaian menyeluruh terhadap punca sebenar krisis tersebut.

Salawati turut menegaskan bahawa Malaysia selama ini tidak pernah mengabaikan aspek kemanusiaan, malah pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan menerusi agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan kepada etnik Rohingya yang memerlukan.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi penguat kuasa lain hanya melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang serta dasar yang diputuskan kerajaan, termasuk dalam operasi mengawal perairan negara.

Beliau berpandangan penyelesaian jangka panjang tidak boleh dipikul oleh Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi menangani faktor yang mendorong penghijrahan pelarian.

Katanya lagi, pendekatan serantau yang menyeluruh perlu merangkumi aspek keselamatan sempadan, bantuan kemanusiaan, usaha diplomatik serta penyelesaian konflik di Myanmar agar krisis pelarian Rohingya tidak terus berulang setiap tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *