Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluarmengundi antara 72 hingga 75 peratus pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini berdasarkan sambutan memberangsangkan sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, persaingan sengit di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Menurutnya, sehingga jam 10 pagi, kadar keluar mengundi awal telah mencecah 34.26 peratus dan SPR optimis peratusan itu mampu melepasi 90 peratus menjelang tamat proses pengundian.
Untuk rekod, seramai 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis mengundi secara fizikal di 38 pusat mengundi awal melibatkan 70 saluran di seluruh Negeri Sembilan.
Dan ia selepas mengambil kira pengundi pos membabitkan 5,591 anggota tentera dan 281 anggota polis.
Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan SPR menerima 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.
Namun majoritinya melibatkan kesalahan kecil seperti bahan kempen.
Beliau berkata, secara keseluruhannya proses pilihan raya berjalan lancar, teratur dan aman.
Sambil merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan kerana membantu memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik.
Beliau turut mengingatkan semua pengundi supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
Selain memastikan mereka membawa kad pengenalan bagi melancarkan proses pengundian.
Ramlan berkata, pengundi juga disaran menyemak lokasi pusat mengundi dan saluran masing-masing lebih awal bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pada hari pengundian.
Menurutnya lagi, SPR telah membuat segala persiapan termasuk aspek logistik, petugas serta kelengkapan pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar di semua pusat mengundi.
Katanya, kerjasama erat antara SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan menjadi faktor penting dalam memastikan keselamatan serta kelancaran proses pilihan raya.
Tambahnya lagi, pemantauan berterusan turut dilakukan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya yang ditetapkan.
Dalam masa sama, SPR mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya terus berkempen secara berhemah.
Di samping mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan provokasi atau mengganggu ketenteraman awam.
Ujarnya lagi, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan disiasat mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang sedia ada sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Ramlan berkata, pihaknya juga berharap semangat demokrasi yang dipamerkan sepanjang tempoh berkempen dapat diteruskan sehingga selesai proses pengundian dan pengiraan undi.
Beliau turut menegaskan bahawa kadar keluar mengundi yang tinggi akan mencerminkan tahap kesedaran serta komitmen rakyat dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri menerusi proses demokrasi.
Menurutnya lagi, pengalaman mengendalikan beberapa pilihan raya sebelum ini memberi keyakinan kepada SPR bahawa semua urusan pengundian dapat dilaksanakan secara telus, adil dan teratur.
Beliau sekali lagi menyeru semua pengundi yang layak supaya keluar mengundi pada Sabtu ini dan menggunakan hak masing-masing bagi memilih wakil rakyat yang akan mewakil mereka di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=oEYM-6mSn3Y&ra=m
