BAJA SUBSIDI MALAYSIA DIKESAN UNTUK IED DI SELATAN THAI

NARATHIWAT (THAILAND) – Baja urea bersubsidi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) yang dibekalkan oleh anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikesan digunakan sebagai bahan menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea dari Malaysia dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai, pada Jumaat lalu.

Menurut sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), sebanyak 26 guni baja seberat 20 kilogram setiap satu dirampas dalam operasi kira-kira jam 10.16 pagi itu.

Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan ketika membawa baja berkenaan menggunakan motosikal roda tiga. Suspek dilaporkan pernah ditahan untuk soal siasat berkaitan kes keselamatan pada 2012.

“Pemeriksaan mendapati baja itu dari Malaysia dan kami percaya ia akan digunakan kumpulan pemisah sebagai salah satu komponen menghasilkan IED,” kata sumber berkenaan.

Rampasan itu dipercayai berjaya menghalang kemungkinan serangan lebih serius ketika wilayah selatan Thailand berdepan peningkatan siri serangan dan letupan.

Baja urea menjadi perhatian pihak berkuasa Thailand selepas siasatan terhadap beberapa individu yang ditahan sebelum ini turut menemukan maklumat bahawa bahan berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk digunakan dalam pembuatan bom.

Sementara itu, sumber dalam kalangan pesawah mendakwa wujud kegiatan membekalkan baja urea dari Malaysia ke Thailand bagi tujuan berkenaan sejak kira-kira setahun lalu.

Menurutnya, pembekal boleh memperoleh keuntungan lebih RM3,000 bagi setiap tan apabila membeli baja secara borong pada harga kira-kira RM2,450 satu tan metrik sebelum menjualnya di Thailand pada harga sekitar RM5,700.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja berpotensi membantu kumpulan pemisah mendapatkan bahan bagi menghasilkan IED, malah dikhuatiri menjejaskan bekalan baja untuk pesawah tempatan serta menyumbang kepada peningkatan harga.

Baja terbabit dipercayai diseludup ke Thailand menggunakan lori atau laluan sungai di kawasan sempadan pantai timur, dengan jumlah penghantaran bagi satu perjalanan boleh mencecah kira-kira 10 tan metrik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *