JAKARTA – Kerajaan Indonesia terus memperhebat usaha menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu, termasuk yang merebak ke negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Jurucakap II Kementerian Luar Indonesia, Vahd Nabyl, berkata kerajaan terus berkoordinasi dengan negara-negara berkaitan tanpa mengira sama ada menerima bantahan rasmi atau sebaliknya.
Menurutnya, Indonesia turut memanfaatkan mekanisme pemantauan dan pertukaran maklumat menerusi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, iaitu perjanjian yang mengikat negara anggota ASEAN dalam usaha mencegah, memantau dan mengawal pencemaran akibat kebakaran hutan serta tanah.
“Secara amnya, kerajaan menjalankan pelbagai usaha penyelarasan bagi langkah pencegahan dan pengendalian secara bersepadu, dengan meminimumkan kesan terhadap masyarakat serta alam sekitar,” katanya di Jakarta, Khamis.
Nabyl berkata, langkah menangani kebakaran turut meliputi peningkatan kesiapsiagaan, rondaan, operasi pemadaman di darat, pengeboman air, pembenihan awan serta penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, usaha pengubahsuaian cuaca juga dilaksanakan secara bersepadu sebagai sebahagian daripada strategi mengawal kebakaran dan mengurangkan kesan jerebu.
“Langkah-langkah ini terus dilaksanakan tanpa mengira sama ada terdapat bantahan rasmi yang diterima daripada mana-mana negara atau tidak,” katanya.
Indonesia pada masa sama terus memperkukuh kerjasama serantau bagi memastikan pencemaran jerebu rentas sempadan dapat dikawal serta kesannya terhadap kesihatan awam dan alam sekitar diminimumkan.
