PETALING JAYA – Dua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi, dilaporkan berstatus dibatalkan hari ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang termasuk jemaah umrah.
Berdasarkan paparan papan maklumat penerbangan di terminal KLIA pagi ini, penerbangan MH0156 ke Jeddah yang dijadualkan berlepas pada pukul 3.05 petang dan MH0158 ke Madinah pada pukul 5.10 petang masing-masing tertera status ‘dibatalkan’.
Semakan pada platform penjejakan penerbangan turut menunjukkan gangguan jadual bagi penerbangan MH158 ke Madinah, manakala tiada pergerakan pesawat MH156 direkodkan setakat semakan dibuat.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan selepas beberapa pengguna media sosial berkongsi pengalaman mengenai pembatalan penerbangan ke Arab Saudi, termasuk seorang penumpang yang mendakwa penerbangannya ke Jeddah pada keesokan hari turut dibatalkan.
Selain penerbangan dari Malaysia, seorang pengguna media sosial yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah turut mendakwa operasi penerbangan digantung sementara, termasuk penerbangan Qatar Airways ke Doha yang dijadualkan berlepas pada malam sebelumnya.
Bagaimanapun, status pembatalan dan dakwaan penggantungan operasi berkenaan perlu disahkan melalui makluman rasmi syarikat penerbangan serta pihak berkuasa lapangan terbang.
Gangguan itu berlaku ketika ketegangan keselamatan di rantau Asia Barat dilaporkan meningkat susulan serangan yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi dari Yemen terhadap lapangan terbang dan kemudahan strategik Arab Saudi.
Serangan yang dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penumpang dan kelancaran operasi penerbangan, manakala ancaman serangan susulan meningkatkan kewaspadaan terhadap perjalanan udara di negara itu.
Situasi berkenaan turut memberi kesan kepada perancangan perjalanan penumpang antarabangsa, khususnya jemaah umrah yang perlu memastikan jadual penerbangan dan urusan penginapan mereka tidak terjejas.
Penumpang yang dijadualkan berlepas ke Jeddah atau Madinah dinasihatkan menyemak status penerbangan secara langsung dengan Malaysia Airlines dan agensi pengendali umrah masing-masing sebelum bergerak ke lapangan terbang.
Sebarang perubahan perjalanan juga perlu dirujuk kepada pengumuman rasmi syarikat penerbangan dan Kementerian Luar Negeri bagi memastikan penumpang memperoleh maklumat yang tepat berhubung perkembangan keselamatan semasa.
