BMW PMX DIGUNA SEMENTARA, JPM TEPIS DAKWAAN

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggunakan sebuah kenderaan rasmi baharu jenis BMW.

Sebaliknya menjelaskan kenderaan berkenaan hanyalah digunakan secara sementara atas faktor keselamatan.

Menurut JPM, BMW berperisai itu bukan dibeli khusus untuk kegunaan Perdana Menteri.

Sebaliknya merupakan aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) yang disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara.

Jelas kenyataan itu, kenderaan berkenaan lazimnya digunakan untuk membawa ketua-ketua negara dan ketua-ketua kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Di mana ia selaras dengan keperluan protokol serta keselamatan antarabangsa.

Penggunaan sementara kenderaan itu dibuat atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani kerja penyelenggaraan.

JPM turut memaklumkan bahawa kenderaan berkenaan memenuhi spesifikasi keselamatan bertaraf tinggi.

Ia termasuk keupayaan menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan serta ancaman keselamatan moden seperti serangan dron.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial dan beberapa laporan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan penggunaan sebuah BMW 7 Series Protection sebagai kenderaan rasmi baharu.

JPM menegaskan dakwaan tersebut tidak tepat kerana kenderaan itu ialah aset kerajaan yang telah tersedia di bawah BIUPA dan hanya digunakan buat sementara waktu sehingga kenderaan rasmi Perdana Menteri selesai diselenggara.

Tambah JPM lagi, penyediaan kenderaan berperisai seperti itu adalah sebahagian daripada keperluan standard keselamatan bagi melindungi pemimpin negara dan tetamu kenamaan asing daripada sebarang ancaman.

Dan ia juga sekali gus memastikan urusan rasmi kerajaan dapat dilaksanakan mengikut protokol antarabangsa.     

JPM menegaskan segala penggunaan aset kerajaan sentiasa tertakluk kepada prosedur serta peraturan kewangan dan pentadbiran yang berkuat kuasa.

Di samping itu, keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan bagi memastikan Perdana Menteri dapat melaksanakan tugas rasmi tanpa sebarang risiko yang boleh menjejaskan pentadbiran negara.

Justeru, kenderaan berkenaan akan terus digunakan hanya sehingga kenderaan rasmi Perdana Menteri selesai menjalani penyelenggaraan.

Selepas kerja penyelenggaraan selesai, kenderaan rasmi sedia ada akan digunakan semula bagi urusan rasmi Perdana Menteri.

JPM turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan atau berkongsi dakwaan di media sosial.

Sehubungan dengan itu, kerajaan juga menegaskan bahawa keselamatan pemimpin negara kekal menjadi keutamaan demi menjamin kelancaran urusan pentadbiran serta kepentingannegara.

JOMChannel berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan yang timbul susulan penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai status kenderaan berkenaan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=9Dr7-F-3KLI&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *